fbpx
Europe

Pengalaman Naik Teksi di London Akibat Mogok

Posted On
Posted By Passport18

Di kebanyakan negara, kereta yang digunakan untuk teksi adalah kereta biasa yang dilabel atau diwarnakan sebagai teksi. Di London, bentuk teksinya unik dan agak berbeza. Dalam filem atau drama Inggeris, banyak ditonjolkan teksi ini. Ianya dah jadi semacam signature bandar London. Kebiasaannya teksi ini berwarna hitam, dikenali sebagai “Black Taxi or Black Cab”.

Ketika di London, saya sempat naik dan merasa pengalaman naik teksi tapi bukanlah naik “Black Cab” sebab teksi yang saya naik ini warnanya putih. Bentuk sama macam Black Cab. Jadi saya rasa “White Cab” lah namanya.

Black cab atau black taxi adalah signature bandar London
Sefaham saya salah satu kriteria untuk dapatkan lesen memandu teksi di London adalah perlu duduki dan lulus ujian bertulis berkenaan selok belok jalan, nama-nama jalan, lokasi tempat dan jalan terdekat untuk menuju ke satu tempat. Dahsyat kan?

Mogok

Nak dijadikan cerita, sewaktu saya melawat London, bukan saja di London, malah hampir semua bandar besar di Eropah berlakunya mogok secara besar-besaran oleh pekerja di sektor pengangkutan awam.

Bukan setakat kereta api, bahkan jadual penerbangan pun terkesan. EasyJet antara syarikat penerbangan yang terpaksa reschedule penerbangannya. Nasib baiklah flight saya dengan EasyJet dari London ke Switzerland tak kena reschedule. Alhamdulillah.

Malam terakhir saya di London, sebelum tidur tu saya Google lah dulu cara untuk ke Airport Gatwick sebab flight saya ke Switzerland adalah dari Gatwick Airport.

Untuk ke Airport Gatwick, saya boleh pilih 2 cara.

  • Untuk sepenuhnya guna train, gunakan Elizabeth Line + Thameslink. Naik train Elizabeth Line menuju ke Station Farringdon. Berhenti dan turun di Station Farringdon. Di Station Farringdon, pilih train Thameslink menuju ke Gatwick Airport. Cara mudah nak faham Elizabeth Line dan Thameslink ni adalah macam LRT dan ERL. Dua syarikat berbeza dengan coverage yang berbeza.
  • Untuk gunakan kombinasi bas dan train, gunakan Gatwick Express + Southern Line. Naik bas di Tottenham Court Road Station untuk ke Victoria Bus Station. Turun bas di sini dan pergi ke train station Victoria. Ambil line Gatwick Express menuju ke Airpoty Gatwick.

Saya buat keputusan untuk pilih cara pertama sebab saya bawa banyak beg. Leceh kalau nak angkat beg naik bas.

Bagi saya Guna Google Map ni sangatlah memudahkan urusan kita untuk travel di London. Taip ja apa lokasi yang kita nak pergi, Google akan suggest stesen metro mana, metro train nombor berapa, pukul berapa train akan datang, harga tiket berapa. Semuanya lengkap. Tak perlu install apps yang lain.

Tottenham Court Road Train Station

Sejurus selepas check-out, terus saya dan isteri bergegas ke Tottenham Court Road train station. Stesen ini terletak 200 m saja dari hotel dan merupakan train station yang paling dekat dengan hotel yang kami stay iaitu St. Giles Hotel London.

Bila sampai ke train station, kami terkejut bila tengok pintu grill stesen berkunci. Grill bahkan dirantai. Tutup terus. Maknanya, pekerja stesen mogok sampai tutup terus perkhidmatan metro pada hari tersebut. Adoiii agak-agak la.

Jam dah menunjukkan pukul 12 tengah hari. Flight kami ke Geneva, Switzerland pukul 5 petang. Cepat-cepat kami berpatah balik ke lobi hotel.

London Strike
Lebih kurang macam ni lah suasana di stesen metro. Tutup berpagar. Ini gambar hiasan sebab kelam kabut dah lambat punya pasal. Tak sempat nak snap gambar dah waktu tu.

Jika anda ke London, saya suggest untuk anda stay di St. Giles Hotel London atau hotel sekitar Bedford Avenue atau Oxford Street. Jarak dari hotel ke Primark hanya lebih kurang 200 m. Ke Sainsbury’s pula 50 m. Jadi nak shopping pun mudah dan nak beli makanan di supermarket pun dekat.

Uber & Credit Card

Sekarang ni ada 2 pilihan; teksi atau Uber.

Definitely lah saya pilih Uber sebab boleh order guna apps. Harga fix dan kita pun dah tau berapa harganya. Bayar pun boleh online atau guna credit card.

Sebenarnya semalam saya dah survey harga Uber. Sekitar RM350 untuk perjalanan ke Airport Gatwick. Akan ambil masa 1 jam 15 minit.

Pejam mata. Terpaksa order juga. Kalau naik metro, sepatutnya kos untuk 2 orang hanya RM130. Perbezaan sebanyak RM220 tu jumlah yang besar bagi kami. Takpa lah. Dah memang tak ada pilihan lain.

Saya cuba order Uber, tapi payment credit card CIMB tak lepas. Pelik. Lepas tu saya tukar guna Ambank. Tak lepas juga. Bertambah pelik. Nak kata saya tak activate untuk penggunaan luar negara, mustahil sebab saya memang call bank untuk maklumkan penggunaan di London. Bahkan dah guna few times di London untuk naik train dan beli barang. Ok ja. Takdak masalah pun.

Waktu ni dah agak bengang dengan bank. Haha.

Ok next step adalah guna debit card; CIMB & Maybank. Gagal juga!

Bertambah bengang dengan bank-bank ni. Haha.

Waktu tu dah pukul 1230 tengah hari.

Outskirts of London (Coulsdon - Hooley)
Pemandangan pinggiran bandar London (Coulsdon – Hooley)

Black Cab

Strategi seterusnya adalah naik teksi. Tapi nak cari teksi pun bukan senang.

Maka saya pun masuk ke lobi untuk minta staf hotel call teksi. Staf hotel inform yang teksi sekarang agak susah nak dapat disebabkan permintaan yang tinggi dan mungkin akan ambil masa 30 minit untuk sampai.

30 minit terlalu lama.

Saya cuba pergi ke luar hotel dan kebetulan ada teksi Black Cab baru sampai hantar penumpang. Tapi rupanya dah ada penumpang lain book teksi tersebut.

Sabar, gelisah dan bengang semuanya ada pada waktu tu. Haha.

Tiba-tiba ada driver teksi Black Cab datang tanya “Do you want a taxi? 160 for Gatwick Airport. Yes or No?”

Saya cuba nego tapi dia tak layan. Dia kekal harga sama. 160 pound sterling tu lebih kurang RM800 jugak. Hmmm.

Saya mintak dia tunggu sekejap sebab saya nak fikir dan actually mintak isteri saya cuba lagi sekali Uber. Tapi pemandu teksi ni pun pandai. Dia push “Yes or not?” “You have to decide now!”.

Memandangkan harganya yang super mahal dan agak sukar nak buat pertimbangan sebab masa dah suntuk tapi harga mahal. Kalau ikutkan rasa nak ambik ja. Tapi saya tanya dan minta pandangan isteri. Isteri kata tak payah ambillah sebab mahal melampau.

White Cab

White Taxi London
Ini teksi putih yang saya dan isteri naik

Dalam 5 minit selepas berlalu perginya teksi Black Cab yang super mahal, tiba-tiba datang sebuah teksi warna putih. Bentuk sama macam Black Cab, cuma warnanya putih. Dia baru turunkan penumpang.

Terus saya dekati pemandu teksi dan tanya dia boleh tak hantar ke Airport Gatwick. Dia cakap ok. Saya tanya harga. Dia maklumkan kena pakai meter.

Tapi saya minta juga untuk dia bagi anggaran. Pemandu teksi ni macam susah nak bagi. So saya dah boleh agak, mesti mahal jugak ni. Tapi dalam hati memang berdoa dan berharap supaya tak terlampau mahal. Sebab dah terdesak dan masa pun makin suntuk.

Pemandu teksi beritahu hari ni harga per kilometer adalah sedikit mahal berbanding biasa. Ini disebabkan faktor demand yang tinggi terhadap teksi akibat metro tidak beroperasi kerana mogok. Selain itu, jalan dalam bandar London dan menghala ke airport juga jem.

Dia bagi anggaran lebih kurang 100-110 GBP.

“Ok great!! We take it”

Ok lah berbanding offer pemandu Black Cab tadi.

Dapat juga jimat 50 GBP (~RM250) berbanding Black Cab.

White Taxi London
Ruang tengah yang luas muat untuk semua beg kami.

Perjalanan ke London Airport Gatwick Menaiki Teksi White Cab

Pemandangan London dari dalam teksi
Dapat juga merasa pusing bandar London naik kereta

Sepanjang perjalanan menaiki White Cab ni, terfikir juga dalam fikiran yang sebenarnya bagus juga naik teksi ni. Dapat tengok pemandangan luar bandar London. Kalau naik metro tak dapat tengok macam ni. Rasa macam ambik pakej travel untuk pusing-pusing London pulak.

Ini semua nak sedapkan hati ja la. Hahaha. Mahal kot kena bayar. Jadi kena fikir positif supaya tak spoil mood cuti. Sebab kami masih ada lebih kurang 9-10 hari lagi percutian kami ni. Tak nak disebabkan kes teksi ni, mood kami ke Switzerland terganggu. Haha.

Memandangkan bentuk teksi yang lonjong dan panjang, jadi ruang dalam teksi white cab ni agak luas. Boleh luruskan kaki. Kami relax ja sepanjang dalam teksi. Menikmati pengalaman naik teksi. Pengalaman yang mahal.

Sepanjang perjalanan, saya perhatikan ja meter teksi tu. Berdebar juga sebab takut bila sampai ke Airport, harga melebihi harga anggaran.

Akhirnya sampai juga ke Airport Gatwick. Harga akhir adalah 136 GBP. Tapi pemandu tu cakap ada lagi kena tambah 5 GBP sebab charge drop-off charges di Departure area. Memandangkan kami nak cepat. Jadi saya bayar ja. Kebetulan cash hanya ada 110 GBP. Nasib boleh bayar guna credit card (boleh pulak credit card saya berfungsi haha. Saya syak Uber punya apps lah yang problem sebab di Amsterdam pun saya mengalami masalah yang sama).

Zassssss lesap 136 GBP + 5 GBP departure drop off = Total 141 GBP (lebih kurang RM760 – Tahun 2022) untuk perjalanan 1 jam 30 minit dari London ke Gatwick Airport.

Sebenarnya, harga teksi dari London ke Gatwick Airport tidaklah semahal itu. Tapi disebabkan high demand dan kurang supply, maka harga pun naik. Kebiasaannya harga sebuah teksi dari London ke Gatwick Airport sekitar 70-80 GBP (RM450-500) sahaja. Still mahal lah berbanding naik train (RM60-70 seorang).

Jika anda travel dengan kawan-kawan dan berkongsi kos teksi untuk 4 orang, maka purata harga seorang baru lebih kurang RM100-110. Walaupun mahal sikit berbanding train, bagi saya lebih berbaloi untuk anda pilih naik teksi berbanding naik train. Lebih selesa.

Jadi pada sesiapa yang bercadang atau tertanya-tanya berapa kos teksi London ke Airport Gatwick. Itulah anggaran harganya.

Bila saya balik Malaysia, saya google juga berkenaan drop-off charges ni. Betul ke tidak. Sebab mahal jugak harganya tu (~RM25). Rupanya memang ada. Bukan saja teksi, sesiapa saja yang nak hantar penumpang dengan cara drop-off di Gatwick Airport kena bayar. Masa untuk drop-off pula terhad kepada 10 minit. Kalau parking macam mana lah harganya agaknya.

Penutup

Itulah kisah kami suami isteri merasai pengalaman naik teksi White Cab. Mahal. Tapi terpaksa. Kalau tidak melepas lah flight kami ke Switzerland. Akan jadi kenangan sampai bila-bila.

Sampai sekarang saya pun tak pasti kenapa Uber taknak terima payment credit card saya. Di Amsterdam dan Paris pun sama. Cuma nasib baiklah di Paris, Uber terima payment cash.

Jika anda ada pengalaman macam kami, boleh kongsikan di ruangan komen.

Leave a Reply