Bali: Tips dan Pengalaman ke Nusa Penida, Kuta dan Ubud

Dalam tulisan ini, saya akan berkongsi tips dan kisah pengalaman saya dan isteri bercuti ke Bali. Ketika di Bali saya dan isteri telah pergi dan menginap di beberapa tempat yang popular iaitu Nusa Penida, Kuta dan Ubud.

Ini merupakan trip kali pertama saya ke Bali dan kali ke-2 bagi isteri saya. Jadi saya tak rancang sangat itinerari sebab saya ikut ja cadangan isteri dia nak pergi mana.

1. Nusa Penida

Nusa Penida adalah sebuah pulau yang terletak dari Tanah Besar Bali. Di Nusa Penida tiada lapangan terbang.

Satu-satunya cara untuk ke Nusa Penida adalah dengan menaiki feri.

Saya memilih untuk menaiki feri ke Nusa Penida dari jeti Sanur. Perjalanan dari jeti Sanur ke jeti Toya Pakeh di Nusa Penida mengambil masa lebih kurang 40 minit saja. Tiket feri ke Nusa Penida saya beli guna Klook.

Sebenarnya rancangan asal percutian saya ni hanya nak stay sekitar mainland Bali saja. Tapi kebetulan waktu tu banyak pulak info pasal Nusa Penida muncul. Jadi kami buat keputusan alang-alang dah sampai Bali tu, terus sajalah ke Nusa Penida.

Di Nusa Penida kami stay selama 3 hari 2 malam. Kami pilih hotel/villa berdekatan dengan jeti Toya Pakeh.

Biasanya bila travel, saya akan pilih untuk pergi tempat yang jauh dulu, kemudian barulah slowly patah balik menghampiri lokasi airport untuk balik Malaysia. Sebab tu lah untuk trip ke Bali ni, saya ke Nusa Penida dulu.

Bilik kami ketika berada di Nusa Penida. Walaupun villa ni kecil, tapi suasana dan kolamnya memang best. Ada privacy.

Hotel atau villa yang kami menginap sepanjang di Nusa Penida adalah Visual Inn Guesthouse Red Partner.

Bagi saya lokasi villa ini terbaik kerana ianya dekat dengan jeti Toya Pakeh, boleh jalan kaki saja. Villa ini juga dekat dengan masjid, kedai runcit dan warung kedai makan muslim. Villa ni hanya ada 6 bilik dengan 1 swimming pool. Anda boleh request mandi swimming pool hingga 2-3 pagi dan staf hotel akan bukakan lampu di sekeliling kolam.

Sepanjang di Nusa Penida, kami menaiki skuter untuk explore sekeliling Nusa Penida. Naik skuter ni banyak kelebihan. Bila nampak tempat cantik boleh berhenti dan bergambar. Ditambah dengan request isteri nak OOTD lagi. Haha.

Perjalanan menaiki skuter dalam pulau Nusa Penida tu sendiri walaupun seronok tapi agak mencabar jugak sebab bukan semua jalan dia elok. Ada yang berlubang-lubang teruk. Timing memang lari banyak sebab bila jalan tak elok, kena bawak slow. Kalau anda chartered supir, anda akan naik 4WD, ok lah. Memang boleh laju. Tapi anda terlepaslah pengalaman santai-santai macam naik moto.

Beberapa tempat menarik yang wajib anda lawati jika ke Nusa Penida adalah

  • Diamond Beach
  • Atuh Beach
  • Broken Beach
  • Angel’s Billabong
  • Crystal Bay
  • Kelingking Beach
Jalan tanah, batu-batu dan cerun sikit. Ada batu yang agak tajam. Takut tayar bocor. So suruh isteri turun jalan kaki lah. Haha.

Diamond Beach dan Utuh Beach adalah bersebelahan. Hanya dipisahkan oleh bukit. Kami buat keputusan untuk lepak di Diamond Beach. Nak sampai ke pantainya tu boleh tahan susah. Kena turun tangga curam dan kecik. Kalau selisih dengan orang kena berhenti. Kalau jatuh memang boleh hilang nyawa atau kecederaan serius. Terlampau asyik kami lepak di pantai, bila tengok jam dah lebih kurang 4 jam juga kami di situ. Pengalaman yang sangat best dan berbaloi.

Selepas puas melepak di Diamond Beach, kami terus ke Angel Billabong dan Broken Beach. Kalau ikut jarak, sepatutnya 45 minit boleh sampai (~30 km). Tapi bila jalan berlubang-lubang dan tayar moto skuter pun kecil saja, tak berani lah kami nak hentam laju-laju. End up kami sampai around 530 petang. 1 jam 30 minit !! Haha.

Kena relax-relax sambil menikmati pemandangan Diamond Beach

Perjalanan balik ke hotel agak menakutkan sikit. Jalan tiada lampu memandangkan banyak kawasan tidak ada penduduk. Bila tiba di kawasan kampung, ok dan lega lah sikit sebab ada lampu jalan. Alhamdulillah selamat semuanya.

TIPS: Anda boleh gunakan waze atau Google Maps untuk sampai ke destinasi pilhan anda jika anda pilih untuk naik skuter. Cuma dari segi masa, jika waze bagitau 1 jam. Anda kena expect masa yang lebih lama. Mungkin 1 jam setengah hingga 2 jam disebab jalan yang tidak elok.

Hari last agak menyesal. Rasa tak puas. Next time kalau ada rezeki mungkin kami akan stay 5-6 hari just untuk explore Nusa Penida dan relax-relax.

Jika ada masa, boleh tonton video pendek kami ke Diamond Beach.

Atau boleh baca tulisan saya berkenaan tips ke Nusa Penida.

Bila dikenang kembali, memang tepat keputusan kami untuk pergi ke Nusa Penida.

Cuma silapnya kami hanya luangkan masa selama 3 hari saja di sini. Tak cukup dan tak puas.

3 hari memang tu memang tak cukup sebab last day hari ke-3 tu boleh dikira burn dah sebab bot balik ke mainland jam 11 pagi. Memang silap planning. Lagi pun memang tak sangka Nusa Penida ni best. Tempat di sini lawa-lawa. Dan masih kurang diteroka.

Jadi nasihat saya, jika anda hendak bercuti ke Nusa Penida, sekurang-kurangnya kena 4-5 hari. Barulah betul-betul puas dan best!

Saya terbaca ramai orang Malaysia yang pergi ke Nusa Penida cuma 1 hari saja, buat day trip. Awal-awal pagi naik feri dan pulang semula petang tersebut. Di Nusa Penida, ambil supir untuk ronda-ronda tempat best. Memandangkan Nusa Penida ni luas, maka anda hanya akan spend masa 30 minit atau 45 minit saja di satu-satu tempat.

Jika anda memang tak ada masa, cuti pun pendek dan anda hanya sekadar nak bergambar, boleh ja buat macam tu. Tapi kalau anda ada masa, sebaik-baiknya tidur lah sekurang-kurangnya 1 malam. Barulah dapat feel. Jika tidak bagi saya macam rugi dan definitely tak puas.

2. Kuta

Setelah ke Nusa Penida, kami terus ke Kuta.

Kuta merupakan pekan yang paling popular, meriah dan menjadi tumpuan di Bali.

Lokasi Kuta ni berdekatan dengan banyak tempat-tempat menarik di Bali.

Antara tempat menarik yang kami melawat ketika di Kuta adalah:

  1. Kuil Pura Tanah Lot (Tanah Lot) – binaan dan kedudukan kuil ni menarik kerana ianya mengunjur ke tengah laut.
  2. Kuil di Uluwatu – di sinilah tempat jika anda hendak menonton Kecak dance. Kuil Uluwatu ni terletak di atas bukit di tepi pantai. Viewnya cantik.
  3. Jimbaran – terkenal dengan kedai-kedai makanan seafood sebab kawasan Jimbaran ni adalah kawasan pantai.
  4. Pandai Pandawa – di Pantai Panbdawa ni anda boleh buat aktiviti seperti berkayak. Air lautnya jernih cuma pantainya taklah cantik.
  5. Seminyak
  6. Pantai Kuta

Di Kuta ada banyak hotel. Harga pun tak mahal dan cantik-cantik belaka.

Kami menginap di 2 buah hotel iaitu Gemini Star Hotel dan Park Regis Kuta Hotel.

Ketika di Gemini Star Hotel kami kenal dengan seorang pekerja nama Putu. Isterinya pun bekerja di sini. Mereka masih muda sekitar 23-24 tahun. Kata Putu, dulu Kuta lebih meriah. Banyak kelab malam dibuka. Tetapi sekarang banyak kelab malam sudah tutup kerana semasa pemerintahan Presiden Indonesia, Pak Jokowi, beliau sangat tegas menentang narkoba(dadah). Katanya lagi di kelab-kelab malamlah banyak dadah boleh dibeli dan didapati.

Gemini Hotel: Bilik ada access pool. Harga pun tak mahal.

Di Kuta, kedai makan dan cafe sangat banyak. Cafe yang ada live band pun banyak. Kawasan shopping pun banyak. Kami pelancong yang tak berapa kaya. Jadi memang tak shopping langsung. Ada lah beli keychain dan fridge magnet sikit-sikit buat keluarga.

Tanah Lot

Tanah Lot atau Pura Tanah Lot terletak dalam lingkungan 20 km dari Kuta. Ianya merupakan sebuah kuil agama Hindu yang dibina pada kurun 16 oleh Dang Hyang Nirartha.

Kuil Tanah Lot masih lagi berfungsi sebagai kuil dan hanya membenarkan penganut agama Hindu saja untuk masuk. Pelancong juga tak dibenarkan masuk ke dalam. Cuma saya tak pasti jika pelancong itu beragama Hindu, adakah dia dibenarkan masuk atau tidak?

Jadi, jika ke Tanah Lot, aktiviti yang boleh dibuat di sini adalah bergambar di sekitar luar kuil yang mana pada pandangan saya cantik juga pemandangannya. Setahu saya, di Malaysia kita tak dapat jumpa kuil bersejarah di tepi laut seperti ini.

Ketika kami sampai ke Tanah Lot sekitar jam 3.30 petang, air laut tengah surut. Jadi kami dapat berjalan-jalan bergambar di sekitar pantai dan dekat-dekat dengan kuil. Kalau air pasang, memang tak boleh pergi rapat. Cuma kalau anda nak ambil gambar secara aerial guna drone, mungkin lebih cantik kalau air pasang.

Ketika kami melawat, cuaca sangat panas. Sebelum ke sini, sebaiknya pakailah sunblock dulu.

Memandangkan cuaca di Tanah Lot sangat panas, nasihat saya adalah jangan pakai seluar panjang jeans dan pakailah spek mata hitam. Haha.

Uluwatu

Selain dari Tanah Lot, satu lagi kuil yang popular di kalangan pelancong adalah Uluwatu. Ianya juga terletak lebih kurang 20 km dari Kuta, namun arah berlainan dari Tanah Lot. Kalau anda merancang untuk cover Tanah Lot dan Uluwatu pada hari yang sama, pastikan take note perkara ni.

Kuil Uluwatu ini dibina pada kurun ke-10.

Aktiviti yang popular jika ke Uluwatu adalah menonton tarian ‘kecak’. Ianya sebuah tarian yang menceritakan kisah Putera Rama yang menyelamatkan Puteri Rita yang diculik dan ditangkap oleh Raja Rahwana. Dalam tarian kecak ni, tarian juga melibatkan permainan api.

Kuil Uluwatu juga terletak di tepi laut. Cuma bagi bagi saya Uluwatu lebih cantik sebab ianya terletak di tebing bukit tepi laut.

Untuk masuk ke kawasan kuil Uluwatu, harga tiket adalah IDR 30,000 (~RM10). Kawasannya besar, pemandangannya cantik, jadi bagi saya berbaloi.

Untuk menonton tarian kecak, anda kena beli tiket tambahan berharga IDR 100,000 (~RM30). Tarian bermula jam 6 petang. Kaunter tiket tarian kecak hanya dibuka pada jam 5 – 6 petang.

Secara keseluruhannya IDR 30,000 + IDR 100,000 untuk masuk ke kawasan kuil Uluwatu dan menonton tarian kecak. Jika anda taknak menonton tarian, tak perlulah bayar tiket tarian. Hanya bayar ID30,000 sahaja.

Kesilapan saya ketika ke Uluwatu adalah saya tak tahu yang tiket menonton tarian kecak adalah limited memandangkan tempat tarian tersebut kecil saja. Bila saya nak beli, dah habis. Mungkin ramai yang standby awal-awal depan kaunter.

Pemandangan di tebing kuil Uluwatu. Kalau anda perasan, ramai yang pakai kain warna purple. Sebenarnya nak masuk sini mesti pakai seluar panjang menutupi hingga ke bawah lutut. Ianya sebagai tanda hormat masuk ke rumah ibadah agama Hindu. Jadi bagi siapa yang pakai seluar pendek atau pakai skirt, akan diminta pakai kain. Kain diberikan secara percuma ketika di kaunter. Jika anda zoom dalam gambar ni, anda akan nampak orang ramai berkumpul duduk atas ‘grandstand’. Itulah tempat tarian kecak.

Sewa Motosikal

Saya pergi ke semua tempat ini dengan menaiki. Jimat dan cepat. Sewa skuter RM25 saja sehari. Jauh beza dengan harga sewa skuter di Malaysia, sebagai contoh di Cameron Highlands (RM50 = 12 jam).

Di Bali juga, trafik jalan raya agak sibuk. Jadi sangat ideal kalau anda boleh naik motosikal.

Pesan saya, sebaiknya sebelum datang, buat lesen memandu antarabangsa. Tak susah pun. Hanya apply dengan JPJ. Harga RM150. Sebab sewaktu saya ke sana, undang-undang agak tegas. Sebelum-sebelum ni ok ja. Tapi sekarang mereka hendak tengok lesen antarabangsa.

Sebenarnya syarikat sewa motosikal tak kisah pun ada ada lesen antarabangsa atau tidak. Dia tetap akan bagi sewa. Cuma kalau kena roadblock, mungkin kena denda. Kebetulan sewaktu hendak ke Pantai Pandawa, ada roadblock. Syukur alhamdulillah. Pakcik polis tu baik. Bila dia tau kami dari Malaysia, dia lepaskan. Tergantung budi bicaralah. Jadi kalau nak ronda dengan tenang, buat sajalah. Boleh ronda seluruh Bali dengan penuh ketenangan. Haha.

Di Pantai Pandawa anda boleh sewa kayak, mandi-manda atau bersantai.

3. Ubud

Kami sempat juga ke Ubud. 2 hari 1 malam. Ubud ni sebenarnya optional saja dalam perancangan kami. Kami minta Putu tolong carikan driver. Dia cadangkan kan sepupu dia, namanya Ketut.

Jika ke Bali, kita akan dapati banyak orang yang namanya ada perkataan yang sama seperti Ketut, Nyoman, Made & Wayan. Nama-nama ini menunjukkan urutan anak nombor berapa dalam keluarga.

  1. Wayan – anak pertama
  2. Made – anak kedua
  3. Nyoman – anak ketiga
  4. Ketut – anak keempat

Dan sebenarnya ada banyak lagi nama-nama khas ini.

Jadi kami tahu, driver kami ini anak nombor empat dalam keluarga.

Kami maklumkan pada Ketut yang kami hanya nak main swing di Ubud. Selebihnya hanya nak relax dan jalan-jalan di pekan Ubud.

Jika anda ke Ubud ini beberapa tempat menarik untuk dilawati:

  1. Monkey forest
  2. Air terjun Tegenungan
  3. Tegalalang Swing
  4. Campuhan ridge walk

Ketika di Ubud kami hanya sempat ke Tegalalang Swing (1st day) dan Air terjun Tegenungan (2nd day naik skuter).

Kesilapan kami ketika merancang itinerari ke Ubud adalah kami tak sangka suasana pekan Ubud ni seronok. Sebab tu lah kami hanya stay 2 hari 1 malam. Nak extend trip ke Ubud pun tak boleh sebab kami dah booking hotel untuk balik ke Kuta. Jadi suggestion saya, di Ubud kena stay minimum 3 hari 2 malam. Melainkan anda jenis touch and go punya traveler.

Tegalalang Swing
Air Terjun Tegenungan

Pekan Ubud ni sejuk sikit berbanding Kuta sebab dia tanah tinggi. Tapi tidaklah terlampau sejuk. Sekadar nyaman dan redup. Di Ubud juga kita boleh tengok padi bukit. Macam juga di Kuta, spa dan cafe memang banyak.

Hotel di sini pun banyak. Hotel kecik-kecik. Tapi cantik dan lengkap dengan swimming pool. Private villa lengkap dengan swimming pool pun banyak. Murah berbanding Kuta. Saya dan isteri stay di Wenara Bali Bungalows. Kami booking sewaktu kami di Kuta.

Sewaktu di hotel saya ada tanya soalan ini kepada staf:

“Kalau walk-in tanpa booking agaknya ada hotel yang available tak di Ubud?”

Dari balkoni bilik Wenara Bali Bungalows

Seorang staf hotel tempat kami menginap tu beritahu dengan kami, sebenarnya kalau ke Ubud tidak perlu booking hotel pun takpa, sebab pasti ada bilik yang kosong. Sebab terlampau banyak hotel di Ubud. Kalau hotel yang kita nak fully-booking, pergi saja ke hotel sebelah.

Sebenarnya, saya suka walk-in especially bila saya tak boleh imagine lokasi pekan yang saya nak travel. Walaupun boleh research online atau baca forum or group facebook, tapi kadang-kadang tak sempat.

Kalau dulu, saya suka pergi dulu tempat tersebut dan kalau rasa best, baru saya akan check-in. Risikonya adalah kalau hotel penuh. Jenuh satu hal pulak nak memusing cari tempat tidur. Bujang takpa lah. Sekarang bila dah beristeri, saya tak nak ambil risiko tu. Sesetengah tempat, kalau weekend ja mesti penuh. Kalau tak booking, jangan haraplah nak dapat hotel yang best. Contoh: Cameron Highlands.

4. Pelancongan Penjana Pendapatan

Dari pemerhatian saya, banyak perkara yang kita boleh belajar dari Bali untuk majukan industri pelancongan negara kita. Sebagai contoh konsep buaian swing yang dipopularkan di Ubud. Perkara ini boleh dipraktikkan di negara kita. Tidaklah terlampau tinggi modalnya. Mereka memanfaatkan pokok-pokok kelapa di teres padi bukit. View pun cantik.

Kadang-kadang hairan dengan sesetengah pihak di negara kita. Bila sebut pasal tarikan pelancongan, mesti nak bina mall dan taman tema air. Memang boleh, cuma modal tu sangat besar. Silap haribulan, bukan setakat tak untung bahkan mungkin bankrupt terus.

Contoh lain adalah ketika saya dan isteri ke Jimbaran. Di sini popular dengan aktiviti makan seafood sambil layan sunset. Di Malaysia pun banyak tempat macam ni. Tapi di Bali, punyalah dipopularkan aktiviti makan seafood sambil layan sunset, hinggakan harga makanan di situ mahal-mahal.

Berikut adalah antara sektor yang akan dapat manfaat dengan kedatangan pelancong:

  1. Hotel dan homestay boleh dihidupkan.
  2. Peniaga kedai makan boleh berniaga.
  3. Kedai pakaian boleh dibuka.
  4. Kedai sewa kereta dan motosikal boleh diwujudkan.
  5. Teksi, grab dan bas boleh dirancakkan.

Macam-macam sektor lagi boleh dirancakkan. Sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat dan mengurangkan kemiskinan.

Pada pandangan saya, Langkawi amat sesuai mengadaptasikan strategi pelancongan seperti di Bali kerana di Langkawi ada macam-macam jenis tarikan seperti cable car, pantai, pulau, tasik, muzium sejarah, underwaterwold, tempat shopping dan sebagainya.

Justeru, jika semua pihak memainkan peranan dan mengambil serius berkenaan pelancongan, Insyallah Langkawi pun boleh menjadi sehebat Bali.

Akhir perkataan, sekian dulu untuk catatan kali ini.

Terima kasih kerana membaca.

Similar Posts

Leave a Reply