Itinerari Percutian 10 hari ke Phuket

Assalamualaikum, dalam penulisan kali ini saya ingin berkongsi itinerari percutian saya ke Phuket.
Diharap boleh dimanfaatkan bagi sesiapa yang sedang merancang untuk bercuti ke Phuket.
Cuma, mungkin anda perlu adjust itinerari ini mengikut style dan tempoh percutian anda.
Jika anda nak baca tips percutian ke Phuket yang lebih details, boleh baca penulisan saya di sini.
Saya bercuti ke Phuket secara santai-santai dengan isteri. Maksud santai-santai ni adalah kami atur tempat yang kami nak pergi dalam 1 hari tu tidak terlalu padat memandangkan kami bercuti ke sini selama 10 hari. Agak lamalah tempoh ni bagi kami. Tempoh yang lama ni membolehkan kami pergi dan spend masa santai-santai di beberapa pantai di sekitar Phuket. Dan juga meronda-ronda tanpa destinasi spesifik di sekitar pekan-pekan di Phuket.
Kalau anda compactkan itinerari saya ni, mungkin 5 hari 4 malam pun dah cukup untuk cover semua tempat dalam itinerari ini.
Sepanjang percutian kami di Phuket, kami sewa skuter. Convenient, flexible dan memudahkan perjalanan kami sepanjang di sana.
Saya ke Phuket pada musim hujan iaitu Ogos. Bukan sebab memang sengaja nak pergi musim hujan, tapi itu saja masa yang saya free. Dikatakan musim hujan di Phuket adalah dari Julai hingga November. Namun begitu, syukurlah 5-6 hari pertama, cuaca sangat elok. Walaupun hujan turun beberapa kali setiap hari tapi hanya sekejap-sekejap saja 15 minit macam tu. Lepas tu cuaca cerah dan panas semula.
Tapi 3 hari terakhir memang agak disaster. Haha.
Nasihat saya, sudah tentulah jangan pilih musim hujan. Boleh check website kaji cuaca dulu sebelum rancang percutian. Biasanya mulai Disember hingga Mac cuaca di Phuket elok dan tidak hujan.
Hari 1: Kuala Lumpur – Phuket
Saya ambil flight awal pagi dari KL ke Phuket supaya menjelang tengahari saya dan isteri dah boleh jalan-jalan di Phuket. Dari airport Phuket ke hotel, saya booking siap-siap airport transfer guna perkhidmatan Klook. Harga pun lebih kurang sama ja dengan teksi airport. Grab tak boleh pick-up penumpang dalam kawasan airport.
Ada 3 pekan utama pilihan pelancong jika ke Phuket:
- Patong
- Kata
- Karon
Ketiga-tiga pekan ni ada pantai.
Saya pilih untuk menginap di Patong selama 5 hari.
Patong ni pekannya lebih besar dan meriah berbanding Kata dan Karon.
Saya terus check-in hotel iaitu Hotel Sawaddi Patong Resort & Spa dan terus sewa skuter di kedai sekitar hotel.
Petang kami ke Bangla Road dan makan shawarma di booth orang Arab.
Malam tu kami hanya ronda-ronda di sekitar pekan Patong.
Makan malam di kedai Alfaruk Tomyum.
Kemudian kami ke pasar malam di Pantai Kalim. Peniaga di pasar malam Kalim ini semuanya orang Islam. Jadi semua makanan di sini adalah halal.
Hari 2: Patong & Karon
Masih mood ronda-ronda dengan skuter di pekan Patong.
Kemudian kami ke pekan Karon.
Perjalanan dari Patong ke Karon dengan menaiki skuter hanya ambil masa dalam 20 minit saja.
Pekan Karon ni kecil saja. Tak semeriah Patong. Tapi hotel banyak juga sebab Karon pun ada pantai juga.
Ada nightmarket juga untuk yang nak shopping.
Makan pancake di Karon.
Untuk makan malam, kami patah balik ke Patong untuk makan di kedai Abang Alading. Makanan di sini sedap.
Hari 3: Banana Beach, Nai Thon Beach & Choeng Thale Beach
Kami merancang untuk ke Banana Beach saja tapi tak sangka terjumpa lagi 2 pantai lain. Jadi pada hari ke-3, kami pergi ke tiga pantai iaitu
- Banana Beach – Pantainya kecil dan macam eklusif sikit.
- Nai Thon Beach – Pantainya panjang dan landai. Sesuai untuk keluarga yang ada kanak-kanak.
- Choeng Tale Beach – Pantainya panjang tapi sunyi dan tak menjadi tumpuan pelancong.



Sebelum mulakan perjalanan, kami singgah beli pulut ayam di Patong sebagai bekalan makanan di Banana Beach.
Perjalanan dengan skuter dari Patong ke Banana Beach ambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Saya bawak slow-slow dan santai. Nak layan pemandangan sepanjang perjalanan.
Di kawasan Banana Beach ni tiada parking. Jadi kami parking skuter tepi jalan saja.
Untuk ke pantai, kita kena hiking turun bukit sikit. Tapi hiking turun tu dekat ja. 5 minit ja dah sampai pantai. Dari atas lagi dah boleh dengar bunyi ombak.
Pantainya tak besar tapi mencukupilah sebab tak ramai yang datang ke Banana Beach ni. Pantainya macam secluded dan isolated sikit. Lagipun jauh dari Patong. Mungkin sebab tu tak ramai yang datang.
Di Banana Beach ni, ada 2 kedai makan tapi kedua-duanya tidak halal. Setakat nak beli air kelapa dan air tin bolehlah.
Kedai makan ni juga buat servis sewa kayak untuk berkayak di pantai tersebut.
Cuma kebetulan waktu kami ke Banana Beach, air lautnya agak bergelora dan hujan gerimis. Jadi kami hanya mandi-mandi dekat tepi-tepi sajalah sebab lantai lautnya agak curam dan dalam.
Kalau ikut kata pakcik peniaga kedai makan di situ, sehari sebelumnya, air tenang. Cuaca pun panas cantik. Takpalah. Bukan rezeki kami.
Selepas 2 jam lepak di Banana Beach, kami gerak pula ke Nai Thon Beach. Jaraknya lebih kurang 2.5 km saja dari Banana Beach dan mengambil masa hanya 10 minit untuk sampai.
Nai Thon Beach ni pantainya lebih besar dan ada kedai-kedai makan dan kedai-kedai runcit di sekitarnya. Hotel pun ada di sini.
Pantai di Nai Thon Beach ni landai dan sangat sesuai untuk kanak-kanak. Anda jalan sampai ke tengah pun masih tak dalam.
Kami sampai di Nai Thon Beach ni pada jam 3.00 petang. Matahari memang tengah panas. Tapi nak mandi laut punya pasal. Panas pun panaslah. Haha. Air laut di Nai Thon Beach ni jernih jugak.
Setelah hampir 2 jam, maka kami pun gerak balik. Dalam perjalanan tu nampak sign board ke Choeng Tale Beach. Apa lagi. Kami pun singgahlah. Antara ketiga-tiga pantai; Banana Beach, Nai Thon Beach dan Choeng Tale Beach, Choeng Tale Beach lah yang paling panjang pantainya. Tapi takdak orang langsung. Mungkin sebab kawasan ni kawasan residential dan private villa. Hotel pun tak ada sangat. Jadi kuranglah pelancong ke sini.
Hari 4: Big Buddha
Kami mulakan trip lewat sikit. Dekat-dekat waktu asar baru kami keluar.
Saja santai-santai di hotel dulu.
Kami ke Big Buddha. Ambil masa 40-50 minit juga untuk sampai dari Patong.
Big Buddha ni terletak di atas bukit. Jalan raya elok dan tak terlampau curam. Skuter kami tetap gagah untuk naik.
Masuk ke Big Buddha adalah percuma. Parking pun percuma.
Pemandangan di sekitar Big Buddha ni sangat cantik kerana ianya mengadap ke laut. Tengah syok bergambar hujan pulak turun. Hujan turun sekejap saja dalam 15 minit. Semua pakat lari cari bumbung. Haha.
On the way balik ke Patong, kami melencong ke pekan Kata dan Karon. Meronda-ronda.
Hari 5: Freedom Beach
Google Map:https://maps.app.goo.gl/okFRRfzR79LFRFH19
Selepas zohor kami bertolak ke Freedom Beach.
Mulanya kami ingatkan salah jalan dah sebab Waze tunjuk jalan kampung yang berbatu-batu. Tapi bila tengok ada jugak skuter pelancong lain yang ikut jalan tersebut. So betul lah.
Nak sampai ke Freedom Beach ni feel dia lebih kurang macam Banana Beach. Kita kena naik skuter ke atas bukit dulu. Parking di atas. Lepas tu hiking turun ke bawah. Parking skuter adalah percuma.
Cuma hiking turun ke pantai Freedom Beach ni agak jauh sikit berbanding Banana Beach. Ambil masa 10-15 minit juga.
Bila sampai ke Freedom Beach tu. Wow. Ramainya orang. Haha.
Pantai Freedom Beach ni tak besar sangat tapi terjaga rapi. Ada lifeguard yang sangat alert dengan pergerakan kita. Ada kawasan-kawasan yang diletakkan had supaya pelancong tak pergi mandi di situ. Nak elakkan bahaya. Bila ada pelancong yang pergi, lifeguard ni akan tiup wisel.
Cuaca pulak kebetulan sangat baik. Cerah elok ja. Memang bestlah kami mandi.

Hari 6: Check-in Hotel Panwaburi
Kami check-out dari Hotel Sawaddi untuk tukar hotel sebab nak sambut ulangtahun perkahwinan.
Next hotel kami adalah Hotel Panwaburi.
Hotel Panwaburi ni terletak lebih kurang 45 minit dari Patong. Kami ambil grab. Lebih kurang RM100 juga kos Grab.
Hotel ni viral sebab kolamnya agak besar dan kita boleh berkayak dalamnya.
Menarik dan rare lah kan sebab boleh berkayak !
Ramai jugaklah kami jumpa orang Malaysia di sini.
Lokasi Hotel Panwaburi ni agak terpencil dan jauh dari segala-galanya. Di sekitarnya pun takda apa-apa. Jadi kami hanya duduk lepak di hotel dan mandi kolam puas-puas dari petang hingga malam. Keesokannya kami sambung mandi kolam lagi sebelum check-out. Haha.
Kami ambil bilik pool access. Senang terjun untuk mandi.
Hari 7: Balik semula ke Patong
Kalini kami check-in ke hotel Seaview Patong Hotel. Hotel ni terletak berhadapan dengan Pantai Patong. Kami dapat bilik mengadap pantai.
Disebabkan hujan lebat, kami lepak di hotel saja sehingga petang. Lewat petang kami menuju ke 7-eleven yang terletak 500 m dari hotel untuk beli makanan.
Malamnya masih hujan. Tapi kami redah juga jalan kaki dengan payung untuk ke Bangla Road. Jarak hotel Patong Beach Resort ke Bangla Road dalam 1 km saja. Kami jalan kaki saja sebab kalau sewa moto pun tak boleh pergi mana-mana sangat pun sebab cuaca masih hujan.
Kami sekadar jalan-jalan tengok kedai-kedai baju dan souvenirs di Bangla Road dan shopping mall di berdekatan.
Hari 8: Santai-santai di bilik dan mandi pantai Patong
Hujan turun sejak dari pagi.
Kami lepak di bilik saja.
Tengahari hujan berhenti. Maka kami pun keluar cari makanan dan selepas itu kami sekadar ronda-ronda di Bangla Road dan sekitar pekan Patong.
Petangnya kami mandi pantai Patong dan kemudian sewa skuter untuk ronda pada waktu malam dan keesokan hari.

Hari 9: Tri Trang Beach

Google Map: https://maps.app.goo.gl/SVjj5fULmDdDLzwj8
Cuaca baik harini.
Kami ke Tri Trang Beach.
Air laut pasang tapi cuaca tidak hujan. Air naik sampai menutupi pantai. Ramai pelancong mandi. Rasa rugi pulak tak bawak baju mandi.
Berdekatan dengan pantai Tri Trang Beach ni ada tempat gajah. Tempat gajah ni unik sikit berbanding tempat lain sebab gajah-gajah ni berada dalam laut. Anda bolehlah mandi laut dengan gajah-gajah tersebut. Haha. Saya tak pasti berapa bayaran ke situ.
Hari 10: Bertolak pulang ke KL
Kami ambil Grab dari hotel ke airpot.
Harga lebih kurang RM100 dan perjalanan ambil masa 45 minit.