fbpx
Pulau

13 Tips Percutian dan Perkongsian Pengalaman ke Pulau Perhentian Kecil

Pulau Perhentian Posted On
Posted By Passport18

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam penulisan ini saya ingin berkongsi tips dan pengalaman percutian ke Pulau Perhentian Kecil yang terletak di negeri Terengganu.

Sebagaimana anda, saya juga susah nak dapat peluang bercuti. Justeru, bila dah dapat peluang bercuti tu, kita kena rancang betul-betul supaya semuanya lancar.

Bagi saya, Pulau Perhentian Kecil sesuai dijadikan destinasi percutian samada dengan rakan-rakan ataupun keluarga.

Tidak seperti pulau-pulau di Thailand yang kadang-kadang ianya hanya sesuai untuk orang muda, di sini suasananya berbeza. Serba sederhana.

Itulah keunikannya Pulau Perhentian Kecil.

Untuk peminat snorkelling, Pulau Perhentian memang destinasi yang wajib anda datang.

Macam biasa, sekiranya ke sini, pastikan anda buat tempahan hotel awal-awal. Hotel di Pulau Perhentian Kecil ni tak sebanyak di Perhentian Besar.

Saya dan isteri buat tempahan hanya beberapa hari sebelum ke sini. Sebenarnya ini perancangan last minit. Nasib baik masih ada kosong.

Sewaktu kami berkumpul di pejabat travel agent untuk ambil tiket bot dan uruskan bayaran, terjumpa seorang abang dan kakak dari Kedah. Katanya, dia buat tempahan ke Pulau Perhentian sebulan yang lalu. Katanya ” Itupun nasib-nasib ada kosong “.

Saya bagitau yang kami baru booking 3 hari yang lepas. Terkejut abang tu sebab kebiasaannya memang hotel-hotel akan full waktu weekend.

Rupa-rupanya bila ditanya kepada ejen pelancongan, katanya ada pelanggan yang batalkan tempahan saat akhir. Kebetulan kami pun telefon untuk ke Perhentian, terus dia offer pakej tersebut. Syukur.

Boleh cuba hubungi Pulau Perhentian Mieha Holidays Sdn Bhd (01126081674)

Diharap dengan perkongsian tips-tips di bawah ini akan membolehkan anda merancang percutian dengan teratur dan meninggalkan kenangan yang manis.

Layan sunrise di Long Beach Pulau Perhentian
View pagi-pagi layan sunrise di Long Beach Pulau Perhentian Kecil

1. Musim tengkujuh (monsun)

Pulau di sebelah pantai timur akan mengalami musim tengkujuh setiap tahun. Pada musim ni, pulau biasanya akan ditutup sebab laut sangat bergelora. Hujan lebat, angin yang kuat dan ombak sangat besar menyebabkan sebarang aktiviti tidak boleh dijalankan.

Pulau Perhentian akan ditutup selama 4 bulan setiap tahun mulai dari bulan November sehingga Februari. Walaubagaimanapun, saya hanya mencadangkan untuk anda yang nak bercuti ke sini untuk hanya datang mulai hujung Mac atau April ke atas. Sebab ombak masih kuat pada bulan Februari. Nak naik bot pun boleh melambung-lambung.

Pulau Perhentian Kecil ni boleh dikatakan meriah sepanjang masa. Tidak seperti Thailand, yang mana ada peak season dan off-season. Di sini, sentiasa ramai. Macam saya pesan di awal-awal tadi, sangat disarankan untuk booking hotel awal. Tambahan pula kalau cuti sekolah.

2. Pakej 3 hari 2 malam

Kebiasaannya bila travel, kami akan arrange sendiri semuanya. Tapi memandangkan ni trip last minit, bila kami survey hotel melalui Agoda banyak yang dah full. Jadi kami cubalah nasib dengan booking melalui agen.

Untuk pakej 3 hari 2 malam yang kami ambil, kami hanya ambil pakej untuk

  • tambang bot pergi dan balik
  • hotel
  • parking kereta

Pakej snorkelling juga boleh diambil sekali, cuma saya dan isteri prefer untuk ambil sendiri di pulau.

Kami bertolak dengan memandu sendiri dari Shah Alam hari Khamis jam 1030 malam. Pukul 4 pagi singgah di R&R Lebuhraya Pantai Timur untuk tidur sejam. Letih tu tidak, tapi mengantuk. Awal-awal lagi memang kami dah merancang untuk tidur di pertengahan jalan. Jadi kami bawa comforter. Nyenyak.

Jam 5 teruskan perjalanan dan singgah di masjid untuk subuh. Kemudian jam 7 pagi dihubungi oleh seorang pakcik yang akan uruskan parking dan bawa kami kepada pejabat ejen. Itulah kelebihan guna ejen. Teratur.

Bila kami berjumpa pakcik tersebut, memang saya dan isteri terkejut. Muka pakcik tu sebijik macam Ustaz Azhar Idrus. Serius tak tipu!

Adakah pakcik ni adik atau ada hubungan darah dengan Ustaz Azhar Idrus? Itu persoalan yang bermain dalam kepala otak saya. Rupanya persoalan yang sama juga terbentuk dalam kepala isteri saya. Betullah apa yang orang tua-tua selalu cakap, suami isteri selalu berfikiran sama 🙂

Entah mungkin disebabkan terlampau terkejut, tak terdetik rasa nak tangkap gambar.

Next time kami pergi, kalau ada rezeki saya akan bergambar dengan pakcik tu.

3. Jeti Kuala Besut

Untuk ke Pulau Perhentian, anda perlu ke jeti di Kuala Besut.

Jeti Kuala Besut ni terletak lebih kurang 105 km dari bandar Kuala Terengganu.

Memandu dari bandar Kuala Terengganu ke jeti Kuala Besut akan ambil masa 1 jam 30 minit. Jika anda hendak memandu ikut jalan tepi laut, boleh guna Google Maps dan pilih via Jln Kampung Raja – Kampung Che Salamah/Route 3684

Kalau anda naik bas, ambil bas yang berhenti di Terminal Bas Kuala Besut. Terminal atau stesen bas ini terletak betul-betul berdekatan dengan jeti. Jalan kaki 10 minit dah boleh sampai.

4. Breakfast Sekitar Jeti Kuala Besut

Di sekitar jeti, ada banyak kedai makan dan kedai runcit. Jadi jangan bimbang kalau perut kosong, boleh lapik dulu. Kedai runcit dan 7-eleven pun ada.

Kalau nak jimatkan sikit duit, boleh beli bekalan air tin atau mineral di kedai runcit. Sebab di pulau harga adalah double. Dan sebaiknya beli jugalah sabun mandi ekstra untuk dibawa. Sabun hotel tak cukup dan tak puas sebab kita akan ada banyak aktiviti di Pulau.

5. Parking (Garaj berbumbung)

Untuk ke Pulau Perhentian, kita mesti akan parking kenderaan kita kan? Kecuali kalau kita datang naik bas.

Harga parking kereta di sekitar jeti Kuala Besut adalah RM10 sehari.

Kami masuk parking 12hb, keluar 14hb. 3 hari RM 30.00. Memanglah kalau kira based on malam, hanya 2 malam. Tapi kiraan kadar parking adalah berdasarkan bilangan hari.

Di sekitar jeti ada banyak perkhidmatan parking. Harga adalah sama. Perkhidmatan ini disediakan oleh penduduk di situ. Kita akan parking dalam laman rumah mereka yang dah diubah jadi tempat parking.

6. Tambang Bot

Tambang bot untuk pergi dan balik dari jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian Kecil adalah :

  • RM70 (dewasa)
  • RM35 (kanak-kanak)

Anda juga dikehendaki membayar cas yang dikenakan jabatan laut iaitu RM5 seorang.

Kalau kita tempah hotel dan chalet melalui agen pelancongan, kita mungkin boleh dapat diskaun sikit untuk harga tiket bot. Kami dapat harga RM50 untuk tiket bot pergi balik.

Bot bertolak ke Pulau Perhentian Kecil seawal pukul 7 atau 8 pagi.

Kami dimaklumkan kekerapan bot bertolak ke pulau adalah setiap 1 jam sekali.

Memandangkan bot banyak dan keadaaan sesak di jeti. Kebiasaannya akan berlaku kelewatan.

Bot kami bertolak jam 9 pagi. On-time sebagaimana yang dijadualkan oleh ejen.

Perjalanan dari jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian Kecil ambil masa lebih kurang 30-45 minit.

Bot akan berhenti di beberapa jeti di Pulau Perhentian Kecil bergantung kepada hotel atau tempat penginapan penumpang.

Jika anda tak tahu jeti mana anda perlu turun, jangan bimbang sebab pemandu bot akan tanya nama hotel kita sebelum naik bot. Dia akan beritahu bila sudah sampai jeti yang sepatutnya.

Dari segi waktu balik nanti, ada 3 waktu utama bot bertolak dari Pulau Perhentian Kecil ke jeti Kuala Besut:

  • 8 pagi
  • 12 tengah hari
  • 4 petang
Susasana dalam bot menuju ke Long Beach Pulau Perhentian Kecil
Menuju ke Long Beach
Dari atas bot ketika sampai ke jeti Long Beach
Dah nampak dah Long Beach. Pulau Perhentian ni air lautnya cantik macam Koh Lipe.

7. Long Beach, Coral Bay, Alunan atau Kampung Nelayan

Pulau Perhentian Kecil boleh dibahagikan kepada beberapa kawasan tumpuan di mana hotel-hotel banyak bertumpu iaitu:

Long BeachLong Beach sesuai untuk percutian keluarga atau rakan-rakan. Ada banyak hotel berharga sederhana dan mahal. Ada pantai yang sesuai untuk mandi pada waktu pagi dan petang.
Coral Bay Coral Bay merupakan pilihan peminat scuba diving. Banyak diving center. Pilihan hotel terhad. Pantai juga sesuai untuk mandi-manda namun pantai di Coral Bay tidaklah secantik Long Beach.
Kampung NelayanAda banyak hotel murah dan sederhana di Kampung Nelayan. Banyak kedai makan. Ada pekan kecil dan ada masjid. Pantai kurang sesuai untuk mandi disebabkan banyak bot nelayan.

Kita boleh berjalan kaki trekking merentas bukit dari Coral bay ke Long Beach.

Ada juga kawasan di Pulau Perhentian Kecil yang saya anggap kawasan yang mewah sebab hotel di sini mahal.

Alunan

Kawasan Alunan ni agak private kerana hanya ada 2 hotel sahaja; 1 mahal 1 murah. Pantai pun private. Jika anda nak pergi ke mana-mana kawasan pulau, perlu naik bot teksi.
Perhentian Marriott Resort & SpaKawasan ini lebih private kerana hanya ada 1 hotel saja iaitu Perhentian Marriott Resort & Spa (5-star hotel).
Marriot Resort ini tidak terletak betul-betul tepi pantai, perlu jalan kaki sikit.
Long Beach waktu tengah hari

Suasana di Long Beach lebih meriah pada waktu malam especially ketika weekend sebab ada fire show. Walaupun suasana di Long Beach meriah pada waktu malam, namun tidaklah bising sehingga mengganggu suasana anda di bilik hotel.

Coral Bay pulak agak sunyi sikit pada waktu malam. Tak macam Long Beach. Sebab tu lah ada segelintir pelancong yang sanggup merentas bukit pada waktu malam dari Coral Bay ke Long Beach sebab nak lepak dan enjoy fire show.

Jika anda hendak pilih kawasan yang banyak fasiliti (masjid, kedai makan, kedai runcit) dan nak ambil feel mingle dengan ramai penduduk tempatan pulau, boleh pilih Kampung Nelayan.

Saya memilih untuk menginap dan stay di kawasan Long Beach memandangkan pantai untuk lepak dan mandi laut tu panjang dan suasana pada waktu malam pun meriah.

Bahkan sewaktu saya ke sini, ramai jugak pelancong yang menginap di Pulau Perhentian Besar datang ke Long Beach pada waktu malam semata-mata sebab nak enjoy fire show. Hanya naik bot teksi, RM5 seorang.

8. Hotel di Long Beach

Dari jeti ke hotel, kita kena jalan kaki meredah pasir pantai.

Dulu memang ada perkhidmatan bot teksi (RM5) untuk hantar kita ke pantai di depan hotel. Sekarang dah diberhentikan. Mungkin sebab kurang sambutan. Lagipun bukanlah jauh sangat.

Pulau Perhentian

Jeti di Long Beach ni terletak betul-betul di hadapanHotel Mimpi. Satu-satunya hotel di Long Beach yang menyediakan swimming pool.

Panjang Pantai Long beach ini adalah 800-900m.

Jarak hotel paling jauh dari jeti ini adalah 900m iaituD Rock Garden Resort. Untuk orang muda, memang takdak masalah. Untuk orang tua, agak memenatkan. Terutamanya kalau beg berat. Isteri saya, dia memang tak penat langsung lah sebab saya yang galas semua beg dia 😉

Hotel di sini banyak. Bergantung kepada bajet. Harga sekitar RM150 – RM800.

Selain dari harga, kalau nak pilih hotel yang best, cuba pilih lokasi hotel di kawasan tengah-tengah Long Beach.

Saya dan isteri memilih untuk menginap di Cocohut Long Beach Resort. Lokasinya boleh dikatakan di tengah-tengah pantai Long Beach. Walaupun kedudukan resort ni di tengah-tengah tapi ianya tidaklah terletak betul-betul tepi pantai. Kena jalan kaki selama 5 minit barulah boleh sampai ke pantai. Dekat ja. Bagi saya Cocohut Long Beach Resort ni selesa, cantik dan berpatutan harganya. Cocohut Resort ni menawarkan bilik untuk kapasiti berdua dan juga berempat. Sesuailah untuk percutian keluarga.

Adalah sangat disarankan untuk buat tempahan awal-awal sebab hotel dan resort di Pulau Perhentian Kecil ni cepat penuh.

9. Snorkelling

Aktiviti yang wajib adalah snorkelling. Diving pun ada, tapi buat masa sekarang saya masih kurang berminat.

Memandangkan kami check-in di hotel pun jam 11.30am. Kami buat keputusan untuk snorkelling esoknya, hari kedua. Sampai bilik terus qadha tidur semalam. Jam 3.30 petang kami keluar jalan-jalan di sekitar Long beach. Lepak makan dan minum. Kami sewa goggle RM10/per set untuk mandi pantai petang tu.

Harga pakej snorkeling sekitar RM40-60 seorang. Berlainan dengan waktu snorkeling di Thailand yang bermula jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari, di sini aktiviti snorkelling bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang. Bagus juga. Tak lah kita terkejar nak breakfast awal pagi sangat kan.

Tapi ada juga saya terbaca aktiviti snorkelling yang mula pukul 10 pagi habis pukul 1 petang. So anda bole survey mana yang sesuai.

Makanan tengahari tidak disediakan, tapi sewaktu lunch-break kita akan dibawa ke Perkampungan Nelayan. Di situ memang banyak restoran. Harga berpatutan dan tidak mahal. Jadi jangan bimbang. Anggaran harga adalah sekitar RM7-15 untuk seorang makan/minum.

Antara point-point yang kita akan dibawa waktu snorkelling adalah:

  • Coral Point
  • Fish Point
  • Shark Point
  • Turtle Point
Tekong bot snorkelling kami panggil ikan
Bagi ikan makan roti.
Bagi ikan makan roti. Lagi bagus kalau kita bawa roti sendiri. Bot ada sedia tapi tak banyak la.

10. Mandi di Jeti

Kalau sebelah petang kita nak continue mandi, boleh cuba mandi sekitar jeti. Memang best. Ikan pun banyak. View nak bergambar dalam air pun cantik. Sapa yang kaki terjun memang suka la mandi kat sini. Ramai juga mandi di jeti pada waktu petang.

Mandi di jeti Pulau Perhentian Kecil
Bagi saya port mandi paling best di Pulau Perhentian Kecil ni adalah di jetinya
Kawasan pesisir pantai berhampiran jeti Long Beach agak berbatu tapi cantik.
Pesisir jeti di Pulau Perhentian Kecil. Ramai juga yang snorkelling sendiri pada waktu petang.

11. GoPro

Untuk yang tidak memiliki GoPro, jangan bimbang boleh sewa di sana. Boleh sewa dengan mana-mana pengendali atau ejen bot snorkeling. Kalau boleh survey dan tanya (sehari sebelum) sewaktu beli pakej snorkeling sebab takut GoPro habis. Harga RM100 satu hari. Kalau boleh mintak lah 2 bateri. Satu bateri memang tak cukup.

Atau boleh beli action camera murah-murah di Shopee.

12. Fire Show

Pada waktu malam, selain daripada melepak di hotel, kedai makan atau di tepi pantai, di Long Beach juga anda boleh enjoy tengok fire show. Persembahan dibuat oleh penduduk tempatan dan orang putih yang stay di situ. Fire show ni berlangsung selama lebih kurang satu jam. Sebelum fire show akan dipasang lagu-lagu. Ala-ala music bar.

Kalau kita nak duduk di meja dan duduk atas tikar, kena bayar RM20 untuk satu meja. Boleh duduk dalam 4-5 orang. Tapi kalau kita taknak bayar meja pun boleh, kita boleh berdiri belakang meja (tepi pantai) atau di tepi-tepi kawasan meja. Kalau kita ambil meja pun, tak semestinya kita perlu order makanan dan minuman di situ. Boleh beli makanan dari tempat lain dan makan di situ.

Lepas habis fire show, orang yang buat persembahan akan datang buat kutipan duit sebagai sumbangan. Bagilah seikhlas hati anda.

13. Makan minum

Jumlah ini adalah subjektif. Tapi anggaran kasar adalah RM100-200 untuk 3 hari 2 malam untuk 2 orang. Itupun sebenarnya untuk makan malam selama 2 malam. Sebab breakfast disediakan di hotel.

Itu pun kalau kita nak makan ikan bakar. Kalau tak nak, boleh jimat lagi.

Dekat sini juga ada ice-cream shake (ice-cream goncang) yang sedap.

Tak sangka boleh terjumpa saudara pulak di sini. Dia pun mai bercuti. Di KL tak berjumpa. Di Perhentian pulak boleh jumpa.

Kesimpulan

Keseluruhan kos kami adalah lebih kurang RM1000 – 1200 untuk 3 hari 2 malam. Ini tidak termasuk kos minyak dan tol dari Shah Alam.

Secara peribadi saya rasa Pulau Perhentian lebih seronok berbanding Koh Lipe. Mungkin sebab saya suka pulau yang relaxing dan tak terlampau crowded atau terlampau banyak kedai. Kalau di Koh Lipe, sangat meriah (pada waktu peak season) sebab banyak kedai dan malamnya lebih hidup dengan pelbagai persembahan. (Walaupun saya melawat Koh Lipe pada waktu off-season, tapi umum mengetahui ianya sangat meriah ketika peak season)

Dari segi cantiknya air laut pun boleh dikatakan setaraf.

Pada saya, 3 hari 2 malam tidak mencukupi sebab hari ke-3, boleh dikatakan akan burn begitu saja. Sebab pukul 11 pagi kita akan standby untuk bertolak balik. Jadi seolah-olah kita hanya ada 2 hari iaitu hari pertama dan ke-2 saja untuk explore everything.

Cadangan saya, tambah budget dan masa untuk 4 hari 3 malam.

Kami sangat bersyukur dikurniakan rezeki dapat bercuti ke Pulau Perhentian Kecil. Terus-terang saya katakan, memang saya bercadang akan ke sini lagi.

Kepada yang belum pernah ke sini, saya cadangkan sekiranya ada masa, datanglah melawat ke sini.

Pulau yang sangat cantik dan sesuai untuk beristirehat.

Related Post

3 thoughts on “13 Tips Percutian dan Perkongsian Pengalaman ke Pulau Perhentian Kecil
  1. 10 Tips ke Pulau Redang - Passport18

    […] anda ke Pulau Redang. Jika berkelapangan, jemput juga baca penulisan saya yang lain iaitu berkenaan Pulau Perhentian, Bukit Keluang, Cameron Highland, Nusa Penida dan […]

Leave a Reply