Review: Pulau Perhentian Kecil vs Pulau Redang, Mana Lebih Best?

Pasti ada yang tertanya-tanya mana satu destinasi yang lebih menarik dan sesuai untuk bercuti memandangkan Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Redang merupakan destinasi yang sangat cantik dan terkenal di semenanjung Malaysia.
Alhamdulillah, saya pernah sampai ke dua-dua destinasi ini. Saya akan kongsikan pengalaman, pandangan dan review saya tentang kedua-dua pulau ini.
Jika selepas anda baca review ini anda hendak tahu lebih lanjut berkenaan kedua-dua pulau ini, saya juga ada menulis tips untuk ke Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Redang.
1 – Jeti
Untuk ke Pulau Perhentian Kecil, anda perlu naik bot di Jeti Kuala Besut.
Untuk ke Pulau Redang, anda boleh naik bot di
- Jeti Merang (40 km dari Kuala Terengganu)
- Jeti Shahbandar (1.7 km dari Kuala Terengganu)
Berbeza dengan jeti untuk ke Pulau Perhentian, terdapat beberapa buah jeti di Merang. Semuanya dipanggil Jeti Merang. Beza jeti-jeti ini adalah ada 1 jeti milik kerajaan dan beberapa jeti lain adalah milik persendirian yang diusahakan oleh pengusaha pelancongan.
Jeti kerajaan adalah besar dan proper manakala jeti persendirian adalah kecil dan simple (macam jeti di kampung nelayan). Jangan bimbang. Naik yang mana-mana pun boleh. Yang penting apabila beli tiket bot atau pakej percutian, tanya betul-betul di mana jeti anda.
Apabila sampai di pulau, di Pulau Redang tiada jeti. Bot akan terus ke pantai. Kemudian akan ada tangga portable yang diletakkan di depan bot. Jadi kita akan turun atas pasir pantai.


2 – Bot Besar atau Bot Kecil
Kebanyakan bot di Jeti Merang dan Jeti Kuala Besut adalah bersaiz sederhana dan kecil.
Jika anda hendak naik bot besar, maka anda kena naik di Jeti Shahbandar. Namun, perjalanan dari jeti ini hanya boleh ke Pulau Redang.
Perjalanan dari Jeti Shahbandar ke Pulau Redang mengambil masa 1 jam 30 minit.
Bab bot ni sebenarnya penting juga sebab kadang-kadang kita nak bawa anak kecil atau orang tua. Jika bot kecil, mungkin kurang selesa bagi mereka.
3 – Pantai untuk Penginapan
Di Pulau Perhentian Kecil, kebanyakan hotel boleh didapati di kawasan pantai ini:
- Long Beach atau
- Coral Bay
Di Pulau Redang, kebanyakan hotel terletak di Redang Long Beach (Pasir Panjang).
Walaupun ada beberapa kawasan lain di sekitar pulau yang boleh anda pilih, tapi saya sarankan untuk menetap di sekitar pantai-pantai ini kerana ia lebih meriah memandangkan ada banyak hotel, maka suasana tidak lah sunyi.
Bagi saya, pantai di Pulau Redang lebih cantik dan jernih berbanding di Pulau Perhentian Kecil. Pasirnya halus. Lantai lautnya lebih landai, jadi anda boleh berjalan hingga ke tengah laut.
Saya juga suka suasana mandi pantai pada waktu petang di Pulau Redang. Walaupun ramai orang tapi pantainya lebih luas, jadi tak rasa terlampau crowded.

Kebanyakan hotel di Pulau Redang tidak boleh ditempah menggunakan Agoda. Anda perlu tempah melalui travel agent atau hubungi terus hotel.
Hotel di Pulau Perhentian Kecil pula boleh ditempah melalui Agoda atau travel agent. Antara hotel yang popular di Perhentian Kecil dan terletak di Long Beach adalah Mimpi Perhentian.
Jika anda tak nak tinggal di hotel kawasan Long Beach. Anda mungkin boleh pertimbangkan Alunan Resort. Reka bentuk hotel ini cantik.

Atau jika anda kaki diving, anda boleh menginap hotel di Coral Bay antaranya Ombak Dive Resort.
4 – Suasana Malam (Nightlife)
Pulau Perhentian Kecil sangai sesuai untuk golongan muda. Ada persembahan muzik dan pertunjukan api pada waktu malam di pantai Long Beach. Anda boleh makan dan lepak di tepi pantai sambil dengar muzik. Kawasan Long Beach adalah meriah dan happening pada hari minggu pada waktu malam.
Suasana pada waktu malam di Pulau Redang agak sunyi. Persembahan nyanyian atau band ada di restoran atau kafe hotel dan resort. Namun tidak semeriah di Long Beach, Pulau Perhentian Kecil.

Bacaan tips percutian ke Cameron Highland
- 8 Tips ke Cameron Highland
- 4 Tips Percutian 2H1M ke Cameron Highlands
- 5 Tempat Wajib Dilawati di Cameron Highland & Lokasinya
- Cameron Highland: Itinerari 3 Hari 2 Malam
- Lokasi Pasar Malam Cameron Highland
5 – Tempat Menarik di Pulau
Selain snorkelling dan scuba diving, beberapa aktiviti lain boleh dilakukan di Pulau Perhentian Kecil antaranya:
- Trekking ke Kincir angin (sangat popular)
- Trekking ke Coral Bay dari Long Beach atau sebaliknya
- Trekking/jalan kaki ke Perkampungan Nelayan
- Lepak dan mandi pantai
- Lepak dan berkhelah di Turtle Santuary Beach (Terletak di Perhentian Besar tapi anda boleh naik bot teksi ke sini)
Selain trekking, anda juga boleh sampai ke Perkampungan Nelayan dan Coral Bay dengan menaiki bot teksi. Harga sekitar RM5 – RM15.
Aktiviti di Pulau Redang pula agak terhad. Tapi jika anda suka trekking, Pulau Redang sangat sesuai untuk anda. Anda boleh trekking ke seluruh pulau jika anda larat. Dan singgah mandi di mana-mana pantai. Saiz Pulau Redang agak besar berbanding Pulau Perhentian Kecil. Jadi puas lah jika anda suka aktiviti trekking.

6 – Snorkelling Tengok Penyu
Lebih mudah snorkelling tengok penyu di Pulau Redang berbanding di Perhentian Kecil. Penyu di Redang nampak macam lebih mesra dan suka beraksi bila ada orang. Bukan setakat tu saja, saya bahkan berkesempatan pegang belakang penyu lagi.
Berbeza dengan penyu di Perhentian Kecil yang suka melepak di dasar laut dan macam malu-malu dan takut dengan orang ramai.

Kesimpulan
Saya harap review ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk buat pilihan samada hendak bercuti ke Pulau Perhentian Kecil atau Pulau Redang.
Terima kasih kerana membaca dan selamat bercuti.