4 Tips Percutian 2H1M ke Cameron Highlands

Anda tak banyak cuti? Tapi teringin nak pergi ke Cameron Highlands. Berbaloi tak setakat 2 hari 1 malam (2H1M)? Ada tips tak untuk travel?
Di sini saya akan cuba kongsikan tips untuk membantu anda merancang perjalanan anda ke Cameron Highlands.
Sejujurnya pada pandangan saya, kalau boleh pergilah paling sekejap pun 3 hari 2 malam. Dan saya tak sarankan kurang daripada tempoh tersebut.
Namun saya faham. Tidak semua orang ada kelapangan dari segi masa dan kewangan. Walaupun nampak macam beza hanya 1 hari, tapi setiap orang ada kekangan masing-masing.
Bagi saya, biarlah kita bercuti 2 hari 1 malam pun, pendek pun pendek lah, daripada langsung tak bercuti. Betul tak?

1-Hari Terbaik Bercuti ke Cameron Highlands
Pemilihan hari penting memandangkan percutian anda pendek, hanya 2 hari 1 malam. Cadangan saya sebaiknya adalah hari Ahad dan Isnin.
Kenapa bukan Sabtu dan Ahad?
Sabtu merupakan hari peak di Cameron Highlands. Jalan sangat jem. Anda akan buang banyak masa atas kereta. Dari Tanah Rata ke Brinchang walaupun jarak hanya sekitar 5 km, tapi boleh makan masa lebih 1 jam sehala. Itu belum dikira masa untuk memandu ke lokasi-lokasi tarikan di Cameron.
Jadi jangan sia-siakan cuti anda dengan tersangkut atas kereta lama-lama.
Tapi kenapa Ahad dan Isnin dan bukan Isnin dan Selasa? Of course sebenarnya hari apa pun boleh datang tapi ada sebab kenapa hari Ahad tu bagus.
Ahad masih ada vibe weekend. Pelancong dan pengunjung masih ada tapi tidak terlalu ramai. Kebiasaannya hari Ahad merupakan hari akhir pengunjung dan pelancong bercuti. Mereka dah mulakan perjalanan balik dan tidak melakukan sebarang aktiviti. Hanya sebahagian kecil yang akan beraktiviti sebelum pulang.
Jadi tempat-tempat menarik tidak terlalu sunyi. Kalau sunyi sangat takdak orang pun bosan juga. Kalau ramai orang sangat pun tak best juga. Kena beratur panjang. Kedai makan pun penuh.
Jadi elok sangatlah jika hari pertama anda di sini adalah Ahad.
2-Tiba Awal di Cameron Highlands
Ini paling penting. Anda kena pastikan anda bertolak awal dari rumah anda dan sampai di Cameron Highlands selewat-lewatnya jam 9 pagi.
Jika anda dari Utara, saya cadangkan anda untuk Subuh atau bersarapan terlebih dahulu di highway sebelum exit Simpang Pulai. Jika bawa bekal, lagi baik. Jimat masa. Jangan buang masa makan di kedai.
Jika dari Selatan atau Kuala Lumpur, saya tetap sarankan anda untuk exit highway dan naik ke Cameron melalui Simpang Pulai.
Jalan lebih elok berbanding melalui Tapah.
Jika naik melalui Simpang Pulai, anda akan jumpa pekan Ringlet, Brinchang dan akhirnya adalah Tanah Rata.
Baca Artikel Berkaitan
3-Lokasi Hotel Yang Best di Cameron Highlands
Tanah Rata mahupun Brinchang, hotel sangat banyak. Kedai makan pun banyak.
Walaubagaimanapun, selama 4 kali saya bercuti ke Cameron Highlands, pilihan saya tetap di Tanah Rata. Sebab di pekan Tanah Rata, ada padang bola dan tempat jogging. Pagi-pagi atau petang-petang selepas makan saya akan berjogging di sekitar padang bola tersebut. Rasa macam jogging di oversea sejuk-sejuk ni. Kalau sempat anda cubalah jogging juga.
Jika anda datang hari Ahad, hotel kebanyakannya kosong. Jika check-in Sabtu mungkin banyak yang full. Walaubagaimanapun, kalau pun anda pilih untuk datang hari Ahad saya tetap sarankan anda untuk booking terlebih dahulu.
Ada beberapa hotel di Tanah Rata dan Brinchang yang strategik dan menarik pada pandangan saya. Saya dah link kan ke Agoda. Boleh klik, lihat dan survey dulu. Jika kena dengan budget dan bersesuaian dengan citarasa anda, boleh menginap di sini. Antaranya:
Tanah Rata
Brinchang


4-Itinerari dan Aktiviti Ringkas 2 hari 1 Malam
Memandangkan anda akan tiba di Brinchang terlebih dahulu, saya cadangkan supaya anda buat aktiviti di sekitar Brinchang terlebih dahulu. Kemudiannya beransur-ansur gerak ke hotel di Tanah Rata. Tapi kalau hotel anda memilih hotel di Brinchang pun boleh juga memandangkan aktiviti hari pertama semuanya di tidak jauh dari Pekan Brinchang
Hari pertama, anda boleh melawat:
- Cameron Lavender Garden
- Mossy Forest
- Makan minum di Kafe Sungai Palas serta melawat Ladang Teh Boh
- Pasar Malam Kea Farm
Dari jalan raya utama, jalan masuk untuk ke Mossy Forest dan Kafe Sungai Palas adalah jalan yang sama. Anda akan melalui jalan kampung yang mana kiri kanannya adalah ladang teh. Kadang-kadang apabila berselisih dengan kereta lain anda perlu berhenti disebabkan jalan yang kecil. Setelah 3-4 km, anda akan sampai di satu simpang yang menunjukkan jalan ke arah Mossy Forest. Anda perlu pilih simpang kiri. Ke kanan adalah untuk ke Kafe Sungai Palas. Saya cadangkan untuk anda ke Mossy Forest dahulu, kemudian barulah ke Kafe Sungai Palas. Mossy Forest tu anda tak perlu lah untuk hiking sebab hiking dalam Mossy Forest akan masa lama. Cukuplah sekadar santai-santai dan ambil gambar di entrance dan enjoy view point.
Hari ke-2, anda boleh melawat:
- Agro Technology Park MARDI Cameron Highlands
- Makan Nasi Lemak Strawberi di Kampung Taman Sedia
- Melawat Ladang Teh Bharat dan makan minum di Cameron Valley Tea House
Jika anda mengikuti itinerari ini, anda boleh terus pulang melalui Tapah. Sebabnya, Ladang Teh Bharat tu memang dah satu jalan untuk turun. Jika anda tetap nak turun melalui Simpang Pulai, anda kena patah balik ke Tapah dan Brinchang. Rugi masa, kos dan tenaga.
Pemandangan di sepanjang jalan turun ke Tapah tu cantik juga. Ada banyak kedai orang asli berniaga buah-buahan dan madu. Jalan semua berturap tar cuma jalannya kecil, tidak besar macam jalan dari Simpang Pulai. Walaupun jalan kecil tapi insyallah selamat. Pastikan anda lalui jalan ini waktu siang. Jalan ini tidak berlampu pada waktu malam. Kalau berlampu pun hanya tempat tertentu. Tapi boleh ja kalau anda nak drive juga malam-malam. Cuma berhati-hati lah.




Ok semoga anda mendapat manfaat dari perkongsian saya ini. Jika ada pengalaman atau sebarang soalan nak dikongsi dan diajukan, boleh tulis di ruangan komen. Saya akan cuba reply semuanya. Ada beberapa penulisan lain berkenaan Cameron Highlands yang saya tulis dalam blog saya ini. Jika ada masa, dipersilakan untuk rujuk dan baca.
Selamat bercuti.
Review: Pulau Perhentian Kecil vs Pulau Redang, Mana Lebih Best? - Passport18
[…] 4 Tips Percutian 2H1M ke Cameron Highlands […]