8 Tips ke Cameron Highland
Saya telah beberapa kali ke Cameron Highland, namun setiap kali bercuti pasti ada pengalaman baru yang saya perolehi. Jadi, di sini saya akan kongsikan beberapa tips untuk membantu anda jika anda merancang untuk bercuti ke Cameron Highland.
Diharap perkongsian ini bermanfaat.
1. Aktiviti
Daya tarikan utama ke Cameron Highland tidak lain dan tidak bukan adalah pada cuacanya yang sejuk. Jika dibandingkan dengan tanah tinggi lain seperti Genting Highland dan Bukit Fraser, Cameron Highland ada banyak kelebihan. Antaranya adalah kerana banyaknya tempat yang menarik dan kewujudan beberapa pekan di Cameron Highland. Maka sudah semestinya banyak aktviti boleh dilakukan.
Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan adalah seperti
- menikmati makanan berunsurkan teh di kafe Ladang Teh Sungai Palas. Di sini juga anda boleh melawat kilang teh dan bergambar di ladang teh. Kilang teh di sini adalah dari jenama teh Boh.
- bergambar di ladang teh dan melawat Kilang Teh Bharat. Jenama teh yang dikilangkan di sini adalah Cameron Valley.
- melawat Taman Bunga Lavender di Brinchang. Bagi saya harga tiket masuk agak mahal. Tiket untuk dewasa adalah RM15, kanak-kanak RM10. Selain beli bunga, boleh juga petik dan beli strawberi di sini. Sekiranya perjalanan pulang anda adalah melalui Simpang Pulai, saya cadang untuk ke sini sewaktu perjalanan pulang.
- melawat Cameron Flora Park. Di sini ada pelbagai jenis bunga dan tempat bergambar yang menarik. Saya luangkan masa lebih kurang 3-4 jam di sini. Tiket untuk dewasa adalah RM50 manakala kanak-kanak RM10. Taman bunga di sini agak besar dan ada juga rumah Hobbit. Perbezaan antara Flora Park dengan Taman Bunga Lavender adalah di sini tidak ada tempat untuk petik strawberri. Fokus di sini lebih kepada bunga. Untuk tahu lebih lanjut tentang Flora Park, saya ada kongsikan pengalaman dan beberapa maklumat tentangnya di sini.
- melawat Agro-Technology Park Mardi Cameron Highlands (boleh beli pelbagai jenis bunga atau kaktus di sini)
- melawat Mossy Forest. Memandangkan jalan untuk ke Mossy Forest agak berbukit dan jalan tanahnya berlubang-lubang. Saya sarankan sekiranya anda sayangkan tayar kereta anda atau anda kurang confident utk drive ke atas, boleh booking HALF-DAY TRIP guna website Klook. Booking dan daftar guna link saya, anda dapat kredit percuma bernilai RM15
- Menikmati makanan dan minuman berunsur strawberi di Kampung Taman Sedia di Tanah Rata. Di sini banyak pilihan cafe. Ada yang kena beratur panjang. Ada yang biasa-biasa. Kebiasaannya untuk bersarapan memang ramai. Jika anda ingin ke sini, anda boleh baca pengalaman saya bersarapan nasi lemak strawberry di Kampung Taman Sedia di artikel ini.
- Pergi ke pasar malam Cameron Highlands. Bukan senang nak merasa suasana pasar malam yang sejuk. Jika anda nak tahu lokasi, boleh baca di sini.
2. Waktu terbaik untuk melawat?
Boleh dilawati sepanjang tahun, cuma sebaiknya elak musim hujan iaitu hujung tahun iaitu hujung Oktober hingga Disember. Tapi sekiranya anda memang tiada masa lain yang available, tiada sebarang masalah kerana musim pelancongan di sini tidak seperti di negara luar, yang mana ada musim. Di Cameron Highland, musim pelancongannya adalah sepanjang tahun. Semua kedai dan hotel boleh dikatakan sentiasa buka sepanjang tahun. Cuma sediakan baju hujan, payung serta sweater yang mencukupi.
3. Ikut laluan mana sekiranya memandu kereta?
Ada 2 jalan untuk naik ke Cameron Highlands:
- Melalui Tapah
- Melalui Simpang Pulai
Untuk memudahkan perjalanan, sekiranya anda menggunakan lebuhraya utara-selatan, PLUS, saya mencadangkan anda untuk exit dan naik melalui Simpang Pulai.
Anda boleh juga naik melalui Tapah, cuma jalannya tidak sebaik Simpang Pulai. Jalan naik melalui Tapah, simpangnya agak tajam dan terlindung. Di beberapa tempat anda kena tekan hon untuk warning kereta yang datang dari arah bertentangan. Jalan melalui Tapah juga agak kecil. Tipsnya adalah jangan bawa laju dan sebolehnya janganlah travel pada waktu malam melalui Tapah. Sebab banyak kawasan yang tidak ada lampu jalan.
Tapi sekiranya perjalanan anda adalah pada waktu siang, tidak ada sebarang masalah sekiranya melalui jalan Tapah. Bahkan bagi saya suasana dan pemandangan hutan di sepanjang perjalanan adalah lebih menarik berbanding melalui Simpang Pulai.
Pada tahun 2018 saya memandu naik melalui Simpang Pulai dan turun melalui Tapah pada waktu malam.
Pada tahun 2020 pula saya memandu naik melalui Simpang Pulai dan turun juga melalui Simpang Pulai pada waktu siang.
Pada tahun 2021, saya memandu naik melalui Simpang Pulai dan turun melalui Tapah pada siang hari.
4. Ada Grab tak di sana?
Soalan ini mungkin relevan sekiranya anda datang ke Cameron Highland menaiki bas.
Grabcar ada di Cameron Highlands. Cuma dari segi harga mungkin agak mahal walaupun jarak dekat kerana jalan di Cameron kebiasaannya sesak.
Teksi juga banyak di pekan Brinchang dan Tanah Rata.
Kalau anda nak berjimat, saya cadangkan anda untuk sewa kereta atau scooter.
Tidak seperti Thailand dan Indonesia, kadar sewa scooter di sini agak mahal iaitu sekitar RM75 untuk 12 jam. Tapi still better berbanding sangkut trafik jam 1-2 jam.
Kalau di Tanah Rata, saya sewa scooter di CS Travel & Tours (012-5109722).
Di Brinchang ada 2 kedai untuk sewa iaitu:
- Cameron Speed Scooter Rental (014-9455549)
- ZH’s SCOOTER RENTAL (012-6505695).
5. Berapa hari patut anda stay di Cameron Highland?
Sekurang-kurangnya 3 hari 2 malam. Kalau anda nak datang weekend, saya cadangkan kepada anda untuk ambil cuti hari Jumaat dan bertolak awal pagi ke sini. Rujuk itinerari.
Tapi kalau boleh cubalah elak daripada datang weekend. Kenapa? Baca tips nombor 6.
Bacaan tips percutian ke pulau
6. Traffic jam?
Jarak Brinchang ke Tanah Rata hanyalah sekitar 5-6 km saja tapi disebabkan keadaan trafik yang selalu sesak, boleh makan masa hampir 1 jam. Kadang-kadang lebih dari 1 jam. Jadi rancang betul-betul perjalanan anda.
Atas alasan itulah saya mencadangkan sekiranya boleh, elak datang hari weekend.
Atau jika anda hanya mempunyai kelapangan masa pada hari weekend sahaja, saya nasihati anda untuk bertolak awal dari rumah untuk ke sini. Pastikan selewat-lewatnya jam 12 tengah hari anda dah tiba di Cameron Highland. Supaya petangnya anda boleh mula explore kedua-dua pekan utama di sini iaitu Tanah Rata dan Brinchang.
Sepanjang anda di sini, sebaiknya mulakan aktiviti seawal yang mungkin. Cadangan saya; seawal jam 7 pagi. Jika tidak, anda akan terperangkap dalam jem dan bazirkan masa dalam kenderaan begitu saja.
Every minute counts !!
Bukan selalu kita nak bercuti dan punya kelapangan wang dan masa. Jadi cuba avoid perkara-perkara yang boleh rugikan kita.
7. Hotel Area Mana Best?
Ada 2 pekan utama di sini iaitu; iaitu Brinchang dan Tanah Rata. Secara peribadinya saya suka Tanah Rata. Kedai makan banyak. Pekan lebih besar berbanding Brinchang. Meriah tapi tak rasa crowded macam pekan Brinchang.
Ada beberapa hotel yang mungkin boleh anda pertimbangkan jika ke sini.
Secara peribadinya, saya suka ke Century Pines Resort.
Kedudukan hotel yang sangat strategik. Dari hotel, anda boleh jalan kaki saja untuk ronda-ronda ke sekitar pekan Tanah Rata sekiranya anda menginap di sini. Breakfast yang best. Kedai makan banyak di sekitar pekan. Juga berdekatan dengan MaryBrown.
Jika anda datang naik bas, memang ni hotel yang bagus untuk anda stay. Jarak lebih kurang 200 m saja dari stesen bas. Hanya 800 m dari Agro-Technology Park Mardi Cameron Highlands. Tempat yang WAJIB untuk anda lawati. Anda boleh melihat pelbagai jenis sayuran dan bunga ditanam di sini.
Lagi satu kelebihan hotel ni adalah di hadapannya ada padang bola sepak, taman permainan dan trek jogging di sekitarnya. Pagi-pagi sebelum saya mulakan aktiviti, biasanya saya akan jogging dulu. Kalau saya malas nak booking hotel dengan breakfast, saya akan breakfast di warung berdekatan padang bola sepak tersebut.
Bagi yang ada anak kecil, boleh lah bawa anak anda bermain-main di situ.
Hotel ni biasanya cepat penuh pada weekend. Pastikan anda booking awal.
Pilihan lain:
- Avillion Cameron Highlands (sangat selesa)
- Zenith Cameron (sangat selesa dan mahal, hotel baru, ada swimming pool, berdekatan dengan Hotel Century Pines & Avillion Cameron Highlands)
- Heritage Hotel (selesa)
- Nova Highlands Hotel (sangat selesa, sangat sesuai jika anda hendak ke Mossy Forest atau Ladang Teh Sungai Palas sebab hotel ni terletak berhadapan simpang ke dua tempat tersebut.
Jika anda datang dengan keluarga yang besar, saya cadang untuk pertimbangkan Avillion Cameron Highlands. Selain bilik hotel untuk 2 orang, hotel tersebut juga menawarkan bilik berkonsepkan keluarga yang mana ada di dalamnya ada 2 lagi bilik. Macam anda sewa apartment.
Di Brinchang, ada beberapa hotel yang saya lihat menarik dan kedudukannya adalah di pekan Brinchang itu sendiri. Jadi senanglah untuk anda explore pekan Brinchang. Antara hotel tersebut adalah:
- Rosa Pasadena Hotel (~RM170)
- Snooze Too Hotel (~RM130)
- Jasmine Hotel (~RM140)
- Springhill Resort ( ~RM250)
Harga hotel sentiasa berubah-ubah bergantung kepada cuti sekolah, weekend atau hari biasa. Jadi anda kena check dulu dengan tarikh anda. Saya dah link semua hotel ini kepada Agoda untuk anda lihat harga.
Selain itu, jika hotel-hotel yang saya cadangkan tersebut telah full atau tidak sesuai dengan cita rasa atau budget anda, sebenarnya ada banyak lagi hotel di sekitar hotel tersebut yang boleh anda tempah untuk penginapan anda ketika di sana. Cuma jangan booking terlalu hampir dengan tarikh anda nak ke sana. Takut fully-booked.
Tips saya, selewat-lewatnya booking lah hotel 2 minggu sebelum anda ke Cameron Highlands. Sebab boleh dikatakan hotel yang best dan harga berpatutan ni selalunya cepat fully-booked.
Apapun hotel pilihan anda, yang paling penting kalau anda datang sewaktu weekend, WAJIB booking sebelum datang. Jangan sesekali pasang niat nak walk-in. Sebab hotel di Tanah Rata dan Brinchang boleh dikatakan sentiasa penuh
8. Homestay (AirBnB)
Selain hotel, anda juga ada banyak pilihan untuk penginapan. Kalau anda gathering ramai-ramai dengan keluarga atau kawan-kawan, boleh pertimbangkan juga untuk menginap di homestay. Harga lebih berpatutan untuk bilangan anda yang ramai.
Di Cameron Highlands saya belum pernah menginap di homestay sebab selalu datang berdua dengan isteri saja. Tapi kalau ke tempat lain dengan ahli keluarga, saya akan booking homestay guna AirBnB. Sebaiknya survey dulu lokasi homestay yang anda nak booking tu supaya dapat lokasi yang best. Boleh guna Google Maps.
Terima kasih kerana membaca tulisan saya ini. Semoga anda mendapat manfaat dan saya doakan percutian yang anda rancang berjalan dengan lancar.
Jika anda mempunyai masa, jemput baca tulisan saya yang lain berkenaan Bali, Nusa Penida, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Redang dan Bukit Keluang.