Koh Lipe: Pengalaman Trip 3 Hari 2 Malam
Koh Lipe merupakan pulau favorite di kalangan kaki diving dan peminat snorkelling.
Alhamdulillah saya pernah sampai ke Koh Lipe dan ingin berkongsi pengalaman trip 3 hari 2 malam di Koh Lipe.
‘Koh’ ni dalam bahasa Thailand bermaksud ‘pulau’. Jadi dalam bahasa Melayunya bila diterjemahkan menjadi Pulau Lipe.
Off-Season di Koh Lipe
Saya travel ke Koh Lipe ketika musim off-season.
Di Thailand, musim off-season adalah dari May – September.
Musim peak season pula adalah dari November – Mac/April.
Maksud off-season di Thailand bukanlah seperti musim off-season di pulau-pulau di Terengganu dan Johor yang terpaksa tutup disebabkan musim tengkujuh.
Off-season di Thailand bermaksud pelancong dari Eropah tidak datang ke Thailand pada waktu ini disebabkan cuaca di Eropah bukan winter. Kesannya, tempat-tempat pelancongan di Thailand kebanyakkannya menjadi lengang. Terutamanya pulau-pulau. Sebab itu ia digelar OFF-SEASON.
Peak season di Thailand adalah apabila berlakunya winter (musim sejuk/salji) di Eropah. Pelancong Eropah nak lari dari musim winter ni. Jadi mereka ini akan travel ke negara bercuaca panas seperti ke negara-negara di Asia Tenggara.
Travel pada musim off-season ni ada kelebihan and kekurangannya.
Kelebihannya adalah harga hotel jadi sangat murah. Bahkan jika kita tidak booking online dan terus walk-in, kadang-kadang kita boleh tawar-menawar lagi. Jadi jika anda survey dan dapati harga online mahal. Better walk-in. Jangan risau hotel di Koh Lipe banyak.
Kekurangannnya pula adalah suasana di Koh Lipe agak sunyi dan tak meriah. Kedai-kedai & restoran banyak yang tutup. Bukanlah semua kedai tutup, masih ada kedai yang dibuka. 7-Eleven pun ada.
Kalau kita pergi untuk enjoy the nature dan relax santai-santai, memang tiada sebarang masalah untuk travel sewaktu off-season.
Cara untuk Pergi ke Koh Lipe
Dari Malaysia, secara ringkasnya ada 5 cara untuk pergi ke Koh Lipe:
- Menaiki feri dari Langkawi-Koh Lipe
- Naik flight dan turun di Airport Trang atau Airport Satun, kemudian ambil van ke Jeti Pak Bara
- Naik bas atau train sampai Hatyai, kemudian ambil minivan untuk pergi ke Jeti Pak Bara
- Naik bas atau train sampai Wang Kelian, kemudian ambil minivan untuk pergi ke Jeti Pak Bara
- Memandu sendiri ke jeti di Pak Bara, Thailand dan kemudian naik speedboat ke Koh Lipe
Memandangkan saya dan kawan-kawan pergi pada waktu off-season, jadi tidak ada feri yang beroperasi dari Langkawi ke Koh Lipe. Feri Langkawi-Koh Lipe hanya beroperasi pada waktu peak season.
Bila kami pertimbangkan dari segi bajet, masa dan fleksibiliti, kami buat keputusan untuk memandu sendiri ke Jeti Pak Bara dan ambil speedboat di situ . Lebih mudah dan murah berbanding ambil flight, naik train atau bas.
Tiket speedboat dari Pak Bara ke Koh Lipe kami beli secara walk-in sahaja. Pada musim off-season, tidak banyak speedboat yang beroperasi. Jadi nasihat saya adalah pergilah ke jeti Pak Bara seawal mungkin. Jangan pergi tengahari atau petang.
Bila dibuat perbandingan, jika dikongsi bersama seramai 3-4 orang, kos keseluruhan seperti minyak kereta, tol di Malaysia dan tiket speedboat juga adalah jauh lebih murah dengan cara ini berbanding jika anda naik feri di Langkawi.
1. Menaiki Feri/Speedboat Dari Langkawi
Jika anda hendak bertolak dari Langkawi, ini pilihan anda:
Pilihan 1 | Jeti Bertolak: Jeti Kuah Jeti Tiba: Bundhaya Speedboat Station |
Pilihan 2 | Jeti Bertolak: Telaga Harbour Marina (International Terminal) Jeti Tiba: Pattaya Beach |
Perjalanan feri akan mengambil masa lebih kurang 90 minit.
Harga tiket dari Langkawi ke Koh Lope adalah sekitar RM330 untuk perjalanan pergi dan balik.
Apabila sampai ke Koh Lipe, anda kena berjalan kaki ke kaunter imigresen yang terletak tidak jauh dari setiap jeti. Jadi jangan lupa pastikan anda bawa passport.
2. Memandu Sendiri ke Jeti Pak Bara
Cara paling mudah untuk ke Koh Lipe adalah dengan menaiki kereta sendiri merentasi sempadan di Wang Kelian dan kemudian pergi ke jeti Pak Bara di Satun untuk ambil speedboat. Jarak dari sempadan Wang Kelian, Perlis ke Jeti Pak Bara adalah lebih kurang 90 km.
Kereta boleh parking di kawasan berbayar dengan harga 100 baht untuk 1 malam.
Pastikan isi minyak kereta full siap-siap di Malaysia sebab harga minyak petrol di Thailand mahal. Bagi yang tak pernah drive di Thailand, tiada sebarang tol dikenakan apabila memandu di highway Thailand. Tanpa tol pun jalan tetap elok dan terjaga.
Harga tiket feri untuk pergi-balik dari Pak Bara ke Koh Lipe adalah lebih kurang 1300 Baht (650+650) (lebih kurang RM170). Harga tiket bot dari Jeti Pak Bara ni murah hampir separuh dari harga feri jika naik dari Langkawi.
Perjalanan speedboat dari Jeti Pak Bara ke Koh Lipe mengambil masa 90 minit. Bergantung juga kepada syarikat bot, biasanya speedboat anda akan tiba di pelantar terapung berjarak lebih kurang 1 km dari pantai. Dari situ anda kena tukar bot, naik bot panjang (kena bayar asing 50 baht) untuk sampai ke pantai. Anda akan tiba di Pattaya Beach atau Sunrise Beach. Biasanya pada musim off-season, anda akan turun di Sunrise Beach. Anda boleh tanya pada operator speedboat anda.
Ini adalah ringkasan perjalanan ketika saya pergi ke Koh Lipe. Saya memandu sendiri dari Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur >> Perlis >> Wang Kelian (Sempadan Malaysia-Thailand) >> Jeti Pak Bara >> Koh Lipe
Tarutao Marine National Park
Setiap pelancong asing yang masuk ke Koh Lipe akan dikenakan bayaran masuk ke Tarutao Marine National Park sebanyak 200 Baht.
Kebiasaannya, bayaran ini akan dikenakan apabila anda tiba di jeti Koh Lipe.
Tempohari ketika saya pergi waktu off-season, kaunter untuk bayaran tiket maritim park tidak ada. Jadi kami tidak buat sebarang bayaran sewaktu sampai di jeti. Dan kami pun sebenarnya taktau pun pasal bayaran tersebut.
Ketika kami pergi snorkelling, ada renjer marin datang untuk buat kutipan sewaktu kami singgah untuk lunch di sebuah pulau kecil. Jadi jika anda tidak buat bayaran ketika awal-awal sampai di Koh Lipe, pastikan anda bawa duit sewaktu snorkelling. Sebab mungkin ada renjer yang akan mintak bayaran.
Jika anda sudah buat bayaran pulak, pastikan ketika anda pergi snorkelling, bawa bersama resit bayaran marin park 200 Baht tersebut.
Tempat-tempat Menarik di Koh Lipe
1. Walking Street
Walking Street adalah tempat wajib pergi di Koh Lipe. Di sini ada banyak kedai makan halal, kedai souvenir, 7-eleven, ATM, money changer, kedai jual kraftangan, kedai baju dan macam-macam lagi. Ini lah tempat pelancong bertumpu untuk berjalan-jalan pada waktu malam.
Kedai-kedai di Walking Street kebanyakannya mula buka pada jam 6.00 petang hingga lewat malam. Ada juga daripada waktu siang. Kalau pergi off-season, Walking Street ni tak meriah sangat sebab banyak kedai yang tutup.
2. Pantai
Ada 3 pantai utama di Koh Lipe iaitu:
- Pattaya Beach
- Sunset Beach
- Sunrise Beach
Pantai-pantai utama ni bersaiz besar, ada banyak hotel, banyak restoran dan suasananya pun meriah.
Anda boleh explore pantai-pantai utama dengan mudah sebab ada jalan yang elok menghubungkan pantai-pantai utama ni. Boleh jalan kaki saja sebab saiz Koh Lipe ni tidak terlalu besar. Boleh ikut jalan kampung.
Dari segi luasnya pantai tu, Pattaya Beach adalah pantai paling besar di Koh Lipe. Mengikut review traveler lain pun, Pantai Pataya ni adalah pantai paling meriah di Koh Lipe pada waktu peak season jika dibandingkan dengan pantai-pantai lain.
Selain itu, ada juga beberapa pantai lain yang bersaiz kecil iaitu:
- Sanom Beach
- Billa Beach
- Pantai Galah Beach
- Svedo Beach
- Lipe Secret Beach
Jika anda sukakan aktiviti yang lasak dan mencabar seperti trekking, anda boleh trekking jalan hutan untuk ke pantai-pantai kecil ni.
Selain trekking, anda juga boleh berkayak ke pantai-pantai ni. Kayak boleh disewa dari pantai utama.
Pada pandangan saya, pantai-kecil kecil ni tak lawa pun. Biasa-biasa saja. Tidaklah ada kelebihan apa pun. Cuma suasana sunyi dan sepi lah. Sebab lokasinya yang terpencil. Untuk kaki trekking, mungkin anda suka.
Hotel Penginapan di Koh Lipe
Hotel penginapan saya dan kawan-kawan di Koh Lipe adalah Z-Touch Lipe Island Resort.
Hotel Z-Touch Lipe Island Resort ini terletak di Pantai Pattaya (Pattaya Beach). Ianya terletak betul-betul berhadapan pantai.
Hotel ini kami tidak booking awal. Kami hanya walk-in, mintak tawar harga dan bayar secara tunai. Sebenarnya pemilihan hotel ini adalah secara kebetulan. Bila kami sampai saja di Koh Lipe, kami memang tidak ada hala tuju. Kami hanya jalan menuju ke arah pantai terdekat dan bercadang nak survey hotel di kawasan tepi pantai. Kebetulan ada staf hotel ini nampak kami dan bertanya kepada kami tentang penginapan. Lagipun hotel ni nampak cantik dan bersesuaian dengan bajet kami.
Jika hendak cari makanan halal, boleh ke restoran atau kedai makan yang terletak di Walking Street. Jarak Walking Street dengan hotel hanya 300 m. 7-eleven juga ada di Walking Street.
Hotel ini ada halaman rumput lapang yang berdekatan dengan pantai. Di situ ada kerusi pantai yang disediakan untuk kita lepak-lepak dan santai-santai. Dari segi keluasan bilik dan fasilitinya, hotel ini memenuhi keperluan kami. Cuma kekurangan hotel ini adalah tiada kolam renang.
Di Pantai Pattaya ada banyak lagi hotel-hotel yang cantik. Jika hendak menginap hotel di Pantai Pattaya yang ada kolam (tapi agak mahal-lah sikit harganya), boleh cuba survey hotel-hotel ini:
- Mali Resort Pattaya Beach : Terletak berdekatan dengan hotel yang saya duduk
- Ananya Lipe Resort
- Bundhaya Resort
Macam yang telah saya katakan sebelum ni, kalau travel sewaktu off-season, anda tak nak booking online pun takpa. Boleh walk-in dan cubalah minta tawar harga.
Tapi kalau waktu peak season, WAJIB booking terlebih dahulu.
Snorkelling
Snorkelling merupakan aktiviti wajib jika anda ke Koh Lipe.
Harga pakej snorkelling di Koh Lipe adalah lebih kurang RM40-60. Kami beli pakej ni di Walking Street, pada malam sebelumnya. Ada juga pakej yang lagi mahal. Bezanya, lagi mahal harga pakej maka lagi banyaklah tempat yang dia akan bawak kita untuk snorkelling. Di Walking Street, ada banyak travel agent yang menawarkan pakej snorkelling, island hopping dan scuba diving.
Aktiviti snorkelling akan dijalankan di pulau-pulau kecil sekitar Koh Lipe.
Untuk snorkelling kebiasaannya makanan tengahari akan disediakan.
Best Tak Bercuti ke Koh Lipe?
Dari segi kejernihan air, laut di Koh Lipe ni memang cantik. Mungkin sebab itulah ianya digelar sebagai Maldives of Thailand.
Saya belum cukup rezeki lagi untuk sampai ke Maldives. Tapi dari gambar-gambar dan video Maldives yang orang share, memang nampak cantik.
Jadi bila Koh Lipe ni disamakan seperti Maldives, bermaksud cantiklah Koh Lipe ni.
Cuma ada satu perkara yang saya tak berapa suka tentang Pantai Pattaya ni. Pada waktu petang apabila air surut, kita akan nampak banyak batu karang kecik yang mati. Batu karang ini bila mati ianya berwarna hitam. Bagi saya ini mencacatkan pemandangan sikit lah, tak berapa cantik.
Selain tu, bila pantai tu berbatu karang, kita nak mandi-mandi tepi laut sambil layan sunset pada waktu petang pun akan kurang seronok la sebab kaki sakit ditikam batu karang. Bagi peminat mandi pantai, akan spoil sikitlah.
Pengalaman ini berbeza jika anda mandi pantai diPulau Perhentian atau Pulau Redang di Terengganu.
Cuma ada juga cerita daripada kawan-kawan mengatakan pantai-pantai lain di Koh Lipe tidaklah banyak batu karang macam Pantai Pattaya. Wallahua’lam sebab saya tak sempat pergi ke semua pantai.
Jika anda tanya saya adakah saya akan pergi lagi Koh Lipe?
Jawapannya ya! Cuma untuk trip kali ke-2 ni mungkin saya nak cuba naik feri dari Langkawi dan datang ke Koh Lipe pada musim peak season. Kos ketika musim peak season mungkin mahal sikit tapi suasana lebih meriah.
Anggaran Bajet
Bajet saya dan anda untuk travel ke Koh Lipe pasti tidak akan sama sebab saya pergi dengan kawan-kawan secara backpack. Jika anda hendak pergi dengan keluarga atau secara solo, pastilah berbeza. Style travel kita juga mungkin berbeza. Kami makan biasa-biasa saja sebab kami tak memilih sangat bab makan tapi anda mungkin particular bab makan. Dan mungkin teringin nak makan lobster dan ikan bakar! Haha.
Jadi saya akan bagi bajet secara general dan bajet minimum saja untuk perbelanjaan di Koh Lipe.
Untuk memudahkan pengiraan, kos perbelanjaan untuk trip ke Koh Lipe ni bolehlah dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu tiket bot, hotel bajet sederhana, belanja makan dan snorkeling:
- Tiket bot pergi balik dari Pak Bara (RM170-200)
- Parking kereta (RM13-15 untuk satu malam)
- Hotel (RM250 harga 1 bilik untuk satu malam)
- Makan (RM20 sekali makan)
- Snorkelling (RM40-80)
Sudah pasti ada yang akan kata mereka boleh buat bajet ke Koh Lipe yang lebih murah berbanding bajet saya. Tak dinafikan, sudah tentu boleh! Anda boleh cut cost bajet untuk hotel. Sebab hotel di Koh Lipe agak banyak. Yang harga RM100 pun ada. Ikutlah kesesuaian, keselesaan dan bajet anda. Dari segi bajet makan, nak jimat lagi pun boleh. Anda kena bawak makanan sendiri dari Malaysia atau jika tak nak bawak sendiri, boleh makan burger di 7-eleven. Burger-burger di 7-eleven Thailand sedap-sedap tau. Harga pun berpatutan. Beli dan minta staf panaskan guna microwave.
Penutup
Saya harap perkongsian ini dapat membantu anda merancang percutian ke Koh Lipe nanti.
Jika berkelapangan, jemput baca artikel saya yang lain berkenaan Bali, Pulau Perhentian dan Cameron Highlands.
Selamat bercuti.