fbpx
Uncategorized

Kenapa Setiap Orang Perlu Cuba Travel Solo?

Posted On
Posted By Passport18

Mungkin ada yang akan kata travel berkumpulan lebih seronok sebab ramai kawan. Tidak membosankan. Travel solo boleh mati kutu. Tiada kawan untuk borak dan bersembang.

Memang lumrah lah untuk kita cenderung bersetuju dengan pendapat sedemikian sehinggalah kita sendiri cuba travel solo.

Aku pernah travel secara berkumpulan dan solo. Pengalaman memang sangat berbeza sebab banyak perkara baru yang kita akan dapat bila kita travel solo.

Aku travel secara solo ke China, Europe dan Thailand. Antara ketiga-tiga perjalanan ni, rasanya travel ke China lah yang paling seronok dan mencabar. Sebab waktu tu aku belum pakai telefon pintar (smartphone) lagi. Everything aku Google dan catat di kertas nota. Memang kalau hilang nota tu mesti gelabah.

Lupa bawak baju sejuk tebal sebab ingatkan tak sejuk sangat.

Sewaktu hari pertama sampai di sana, terkejut juga bila tiba-tiba ada motosikal scooter lalu sebelah. Terkejut sebab tak dengar bunyi langsung. Rupanya di sana, motosikal elektrik sudah digunakan secara meluas. Motosikal elektrik ni bunyi perlahan. Tak macam motosikal petrol.

Itu belum masuk bab elemen-elemen mengejutkan yang akan muncul. Apa yang kita plan. Kadang-kadang tak menjadi pun. Contohnya tiket keretapi habis.  Jadi kita terpaksa belajar untuk improvise dan be creative.

Jadi bila kita travel secara solo ni, sangat banyaklah perkara yang kita boleh belajar dan rasai. Antaranya:  

1 – Cuba berdikari

Kalau kita travel secara berkumpulan dan kita pula yang jenis ikut saja dan bukan leader, kebiasaannya itinerary dan keputusan untuk ke mana akan dibuat oleh orang lain. Contohnya kalau kita sesat, hendak bertanya arah, atau hendak sewa kereta, kadang-kadang kawan-kawan kita yang akan lakukan. Kita cenderung untuk bergantung kepada orang lain. Tapi bila kita travel solo, semuanya kita terpaksa lakukan sendiri.   

2 – Cuba lawan perasaan takut dan keyakinan diri meningkat

Ada orang yang takut hendak naik bas atau kapal terbang tanpa teman. Takut hendak berkomunikasi dengan orang yang tak kenal. Manusia memang begitu. Kita cenderung untuk takut pada suatu yang kita tidak ketahui. Sebenarnya takut ini akan hilang sekelip mata saja. Bila kita dah travel sekali, perasaan takut tersebut akan hilang.

3 – Belajar berkomunikasi dengan sekeliling

Bila travel solo, kita akan cenderung untuk berborak dengan pelancong yang lain juga. Contohnya bila kita naik keretapi dan bas, akan timbul keinginan untuk bersuai kenal dan berborak dengan penumpang yang lain. Samada mereka itu pelancong atau penduduk tempatan. Selain itu, cuba bayangkan kalau kita pergi ke luar negara dan negara tersebut kebanyakan penduduknya tidak memahami bahasa Inggeris, kan lebih mencabar! Tapi memberi pengalaman yang sangat memuaskan. 

4 – Pergerakan lebih cepat dan lebih banyak masa boleh dimanfaatkan

Bila travel beramai-ramai, pergerakan akan jadi perlahan sikit. Hendak bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat lain pun kadang-kadang boleh jadi lewat. Tambah pula kalau ke tempat shopping. Ada yang hilang. Ada yang minta tambah masa. Ada yang minta masa nak hisap rokoklah. Memandangkan anda semua sewa kereta atau van yang sama, terpaksalah tunggu.

5 – Jadual lebih fleksibel dan boleh atur last minit

Bila travel secara berseorangan, anda boleh ubah jadual anda sesuka hati anda. Kadang-kadang waktu kita buat itinerary, kita belum dapat gambaran sepenuhnya lagi bagaimana keadaan di destinasi yang hendak kita tujui. Contohnya anda hendak ke lokasi yang ada pantai. Dalam perancangan anda mungkin tidak dimasukkan jadual hendak tengok sunset atau sunrise. Tapi bila anda sampai di sana, dengan tiupan angin yang seronok dan suasana yang meriah membuatkan anda teringin untuk menikmati masa petang di tepi pantai. Jadi bila travel solo, anda boleh tangguhkan sekejap aktiviti lain. Kadang-kadang ada juga tempat yang tidak di-review dalam internet. Tapi bila sampai di sana, pekerja hotel sarankan tempat tersebut. Memandangkan anda datang seorang diri, anda boleh masukkan tempat baru dalam jadual anda.

6 – Berseronok mengikut cara anda sendiri (Enjoy moment according to your own definition)

Ada traveler yang suka duduk tepi pantai termenung atau baca buku. Ada yang suka berendam dalam laut waktu tengahari. Ada traveler yang suka panjat(hiking) dan lepak atas bukit. Ada juga yang suka meronda-ronda naik motosikal di sekitar pekan. Ada yang suka membeli-belah. Tidak semua ada keinginan atau cara melancong yang sama. Jika anda travel solo, ikut suka andalah bagaimana anda hendak travel. Anda boleh gunakan masa mengikut perancangan anda sendiri.

7 – Boleh berkenalan dengan traveler lain

Kalau anda merasa bosan, anda boleh berkenalan dengan traveler lain. Anda mungkin boleh lepak minum dan merancang trip bersama. Untuk sesiapa yang memilih untuk tinggal di hostel backpackers, memang sangatlah mudah mencari kawan baru. Anda juga mempunyai peluang berkongsi pandangan dan mendengar cerita tentang pengalaman mereka travel.

8 – Belajar benda baru

Contohnya ketika pertama kali travel solo ke China, baru aku dapat tahu yang plug elektrik di sana berlainan dengan di Malaysia. Kelam kabut juga pergi ke kedai elektrik. Dah la pekerja di sana kebanyakannya tidak tahu berbahasa Inggeris. Tapi akhirnya berjaya jugalah beli universal adaptor.   

Bila singgah ke kedai handphone, punyalah banyak model dan jenama phone yang aku tak pernah dengar.  Rasanya handphone ni tidak dieskport ke luar. Untuk pasaran dalam negara saja. Handphone yang ada mini TV pun ada. Ini zaman 2012. Kira advanced lah teknologi sebegini waktu tu.

9 – Belajar berdisiplin dalam menguruskan wang

Bila travel secara berseorangan ni, yang penting sekali kita mesti uruskan duit dengan baik. Pastikan budget tak lari. Kalau kita seorang yang kaya dan tak kisah untuk gunakan duit, memang tak menjadi isu lah. Tapi sekiranya kita memang dah rancang awal-awal budget untuk perjalanan anda, inilah salah satu cara untuk mendisiplinkan diri kita. Zaman sekarang mudah untuk buat budget sebab semua harga boleh kita google terlebih dahulu. Kebarangkalian untuk budget burst tu sangatlah tipis. Kecuali nafsu anda untuk shopping adalah seperti Thor.   

10 – Kepuasan

Jika anda baru kali pertama travel solo, bila balik ke Malaysia pasti anda akan rasa puas. Sebab anda berjaya lakukan perkara yang anda mungkin takut untuk lakukan pada asalnya. Anda berani lawan perasan takut tersebut. Anda sekarang sudah berani berkomunikasi dan berdikari. Anda juga ada pengalaman yang mungkin kawan-kawan anda tidak ada.

Related Post

Leave a Reply

Discover more from Passport18

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading