Trip Hiking Bukit Keluang
Bukit Keluang adalah sebuah bukit yang terletak di tepi laut di Terengganu. Bagi saya Bukit Keluang ni agak unik berbanding bukit-bukit lain kerana kedudukannya di tepi laut dan kita boleh hiking untuk menikmati pemandangan dari atasnya.
Trip hiking Bukit Keluang ini merupakan trip pertama saya dan isteri ke Terengganu selepas kami berkahwin. Untuk trip hiking ni kami tak buat sebarang persiapan sangat pun sebab kami decide untuk pergi trip ni pun secara on-the-spot.
Saya rasa tak ramai yang tahu kewujudan Bukit Keluang ni sebab bila buat research dan baca-baca di internet, tak banyak sangat orang share maklumat.
Lokasi Bukit Keluang ini terletak dalam daerah Besut, Terengganu. Dari pekan Kuala Besut hanya berjarak 4-5 km.
Pekan Kuala Besut ni bersempadan dengan negeri Kelantan. Jarak Bukit Keluang dengan sempadan negeri Kelantan adalah lebih kurang 10 km sahaja.
Dari Kuala Terengganu pulak jarak Bukit Keluang adalah lebih kurang 100 km. Dari Kota Bharu pula lebih kurang 60-70 km.
Memandu dari Kuala Terengganu ke Bukit Keluang
Ketika saya dan isteri buat trip ke Bukit Keluang ni, kami pergi ke Kuala Terengganu dulu. Jalan-jalan di Kuala Terengganu. Esoknya baru kami bertolak ke Bukit Keluang.
Kami bertolak awal pagi dari hotel (jam 5 pagi). Kami check-out dan terus bertolak. Kami bertolak awal sebab kami taknak hiking bila cuaca terlampau panas terik.
Jika memandu secara terus, masa yang diambil untuk sampai dari Kuala Terengganu ke Bukit Keluang hanyalah lebih kurang 1 jam 30 minit. Jalan elok dan tak susah pun. Ikut Waze atau Google Maps ja.
Saya pilih laluan Jln Kampung Raja – Kampung Che Salamah sebab saya nak ikut jalan pesisir laut.
Perjalanan kami untuk sampai ke Bukit Keluang ambik masa yang lebih lama sebab kami singgah solat Subuh dan breakfast dulu di masjid dan warung tepi jalan. Ada banyak masjid dan warung di sepanjang perjalanan menuju ke Bukit Keluang.
Pukul 8 pagi barulah kami sampai di kaki Bukit Keluang. Pukul 8 masih ok sebab belum panas terik.
Hiking Bukit Keluang
Bukit Keluang ini tak tinggi. Ketinggian menegaknya lebih kurang 100 m sahaja. Tapi bila hiking dalam hutan, dengan permukaan cerun, jarak akan jadi lebih kurang 300 m. Lebih kurang 10-15 minit pun dah boleh sampai atas puncak. Tapi kalau anda jenis yang suka berhenti ambil gambar dan hiking pun relak-relaks, maka anda akan ambil masa lebih kurang 20-40 minit.
Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk hiking Bukit Keluang ni. Percuma ja.
Parking pun percuma.
Bagi saya aktiviti hiking Bukit Keluang ni sesuai juga untuk kanak-kanak, hatta umur 6-7 tahun pun boleh. Trek tak bahaya dan tak terlampau curam. Cuma bahagian awal saja curam sikit. Bahagian yang curam tu ada disediakan tali untuk kita pegang. Selebihnya tak curam sangat dan ada kawasan yang landai macam jalan dalam hutan biasa.
Suasana sepanjang hiking agak teduh sebab pokok banyak.
Trek untuk hiking ni kebanyakan bahagiannya adalah tanah hutan.
Jadi pastikan pakai pakaian dan kasut yang sesuai. Jangan pakai kasut yang tapak dah haus sebab takut licin bila sampai part curam tu. Sebab mungkin malam sebelumnya hujan, jadi tanah tu lembap dan berselut sikit.
Bila dah sampai atas tu, memang kagum betul dengan pemandangan dekat atas Bukit Keluang ni. Cantik.
Anda akan nampak bukit-bukit yang bercantum seolah-olah membentuk satu banjaran di tepi laut.
View puncak Bukit Keluang ni menghadap laut dan lokasi puncaknya pun betul-betul rapat tepi laut. Jadi memang anda boleh nampak laut dengan clear. Tak terlindung dengan pokok-pokok besar. Jadi anda akan dapat view laut yang sangat cantik untuk bergambar dan lepak santai.
Ditambah pulak bila kita duduk di puncak boleh rasa angin laut dan dengar bunyi ombak.
Satu pengalaman yang menarik dan unik.
Hari kami hiking adalah hari Ahad. Jadi taklah ramai orang sebab Ahad hari bekerja di Terengganu. Saya difahamkan hari Jumaat dan Sabtu sangat ramai orang hiking Bukit Keluang ni. Bagi saya, jika ramai sangat pun tak syok jugak. Susahlah nak bergambar. Haha. Lagi pun kawasan atas tu bukanlah besar sangat.
Lama juga saya dan isteri lepak atas ni. Sejam lebih juga. Santai-santai dan rehat-rehat. Jam 10 lebih baru kami turun.
Bagi peminat hiking atau sesiapa yang sukakan nature, saya rasa Bukit Keluang ni tersangatlah sesuai untuk anda.
Tips saya jika anda ke sini, bawalah breakfast atau bekal makanan seperti roti atau kuih untuk makan kat atas ni. Air mineral jangan lupa. Takut nanti haus. Sebab kami pun lupa bawa air naik atas. Haus jugalah sebab cuaca makin panas.
Cuma kena berjaga-jaga juga sebab di atas Bukit Keluang ada banyak monyet. Jadi jaga-jagalah beg, handphone dan makanan yang anda bawa tu. Sebab monyet ni dia suka benda-benda tu. Sebenarnya waktu dalam hutan ketika hiking, kami tak nampak pun monyet-monyet ni. Bila sampai atas waktu nak balik baru monyet-monyet ni datang.
Nak dijadikan cerita ada sekumpulan pelajar-pelajar universiti yang hiking bersama-sama kami pada pagi tersebut. Ada beberapa orang yang bawa beg berisi makanan. Monyet datang dan ambil beg bawak lari. Ada juga yang kena kejar dengan monyet. Jadi berhati-hati.
Bagi saya pemandangan dari atas Bukit Keluang ni ala-ala Cliff of Moher kat Ireland tu. Cantik. Kalau waktu petang ketika sunset saya rasa lagilah cantik.
Hotel
Di sekitar Bukit Keluang ni ada banyak juga homestay, resort dan hotel budget. Mungkin kalau cuti sekolah akan full-house. Tapi kalau hari biasa mungkin kosong. Jadi kalau nak bermalam di situ pada hari biasa mungkin kurang sesuai, sebab sunyi. Melainkan anda datang dengan keluarga atau kawan-kawan yang ramai.
Cadangan saya bagi yang datang dari KL, Selangor atau negeri lain, sebaiknya bermalam lah di Kuala Terengganu dulu. Keesokan paginya barulah gerak ke Bukit Keluang.
Ada banyak pilihan hotel di Terengganu. Ini antara yang menarik. Jika rasa bersesuaian, boleh booking.
- J Suites Hotel (< RM150)
- Felda Residence Kuala Terengganu (< RM200)
- Grand Continental Hotel Kuala Terengganu (< RM250)
Itinerari
Berikut adalah itinerari ringkas ketika saya buat trip ke Bukit Keluang.
Hari Pertama
- Bertolak dari Shah Alam hari Sabtu jam 7.00 pagi.
- Sampai di Kuala Terengganu jam 2.00 petang. Kami tak merancang untuk buat banyak aktiviti di Kuala Terengganu. Hanya nak santai-santai di Pantai Batu Buruk, Masjid Kristal dan makan keropok lekor.
- Jam 6.00 petang baru kami check-in hotel.
- Makan malam di sekitar Kuala Terengganu
Hari Kedua
- Check-out hotel jam 5.00 pagi dan bertolak menuju ke Bukit Keluang melalui jalan pesisir pantai iaitu Jln Kampung Raja – Kampung Che Salamah
- Singgah sembahyang di masjid dan breakfast di warung tepi jalan.
- Tiba di Bukit Keluang jam 8.00 pagi dan mula hiking.
- Tiba di puncak jam 8.40 pagi dan lepak-lepak selama 1 jam lebih.
- Jam 10 lebih mula turun.
- Pergi ke Pantai Bukit Keluang yang terletak di bawah Bukit Keluang. Lepak-lepak saja. Tak mandi pun sebab cuaca dah panas.
- Jam 3.00 petang check-in hotel ēRYA by SURIA Merang Holiday Park. Mulanya kami nak terus balik Shah Alam tapi rasa letih pulak. Maklumlah bangun awal pagi dan pergi hiking pulak. Haha. Kebetulan jumpa hotel ni. Lokasi hotel ni pun macam best, terletak tepi laut. Tapi laut di sini ombak besar dan tak boleh mandi. Untuk enjoy suasana angin pantai ok lah (hotel ni dah ditutup).
- Cadangan saya, kalau anda nak bermalam lagi 1 malam macam saya, samada anda patah balik ke Kuala Terengganu atau boleh pilih mana-mana hotel/chalet/resort di Besut atau mana-mana hotel sepanjang jalan balik atau pergi ke Merang. Merang merupakan pekan untuk naik bot ke Pulau Redang. Saya pernah bermalam di pekan Merang ni iaitu ketika saya nak pergi ke Pulau Redang, saya tidur semalam di Razak Guest House. Di Merang ada 1 hotel yang saya nampak lawa iaitu Sutra Beach Resort Terengganu.
Hari Ketiga
- Check-out jam 12.00 tengahari dan bergerak pulang ke Shah Alam menggunakan jalan pesisir pantai melalui Kuala Terengganu, Marang, Kuala Dungun, Paka dan Kerteh. Setiap kali kami pergi ke Terengganu, kami akan ikut jalan ni sebab ianya jalan pesisir pantai laut. Senang nak singgah makan tengahari dan beli sata di kedai-kedai tepi jalan.
Penutup
Pengalaman hiking ke Bukit Keluang ni satu pengalaman yang best dan saya takkan lupakan sampai bila-bila. Lagipun kos untuk buat trip ke Terengganu dan Bukit Keluang tak mahal. Kesukaran hiking pun tak susah dan aktiviti ni pun sesuai untuk semua peringkat umur.
Semua orang patut datang ke Bukit Keluang.
Bagi saya Bukit Keluang ni agak under-rated berbanding tempat-tempat menarik lain di Terengganu. Orang macam tak berapa tahu sangat kewujudan Bukit Keluang ni.
Kebiasaan orang luar pun apabila datang ke Terengganu, majoritinya akan ke Kuala Terengganu atau pergi ke pulau samada Pulau Perhentian atau Pulau Redang atau Pulau Kapas.
Kerajaan Negeri Terengganu kena tambah giat promote Bukit Keluang ni sebab ianya unik dan cantik. Bolehlah penduduk tempatan menjana pendapatan hasil kehadiran pelancong.
Baca juga:
Jika anda pernah ke Bukit Keluang atau ada tempat-tempat lain yang menarik untuk dilawati di Terengganu, share dan komenlah pengalaman anda di ruangan bawah.
Terima kasih sudi membaca tulisan ini.