fbpx
Thailand

8 Tips dan Perkongsian Pengalaman Percutian ke Phuket

Tips dan Pengalaman Percutian ke Phuket Posted On
Posted By Passport18

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam tulisan ini, saya akan berkongsi beberapa tips percutian ke Phuket yang saya tulis berdasarkan pengalaman saya dan isteri bercuti selama 10 hari ke Phuket.

Di Phuket, ada 3 pekan yang paling popular di kalangan pelancong iaitu; Patong, Kata dan Karon.

Kawasan yang paling meriah dan happening adalah pekan Patong.

Kata dan Karon tidak semeriah Patong tapi masih ada hotel, kedai dan restoran yang banyak, cuma pekannya tidaklah sebesar dan semeriah Patong.

Saya juga akan suggest beberapa hotel yang strategik dan harga berpatutan di ketiga-tiga pekan ini di tips no 4. (BONUS: Saya juga ada suggest hotel yang menjadi kegilaan orang Malaysia bila ke Phuket. Hotel viral. 🙂

1. Bulan Terbaik Melawat Phuket

Phuket terletak di Laut Andaman. Ianya sebuah pulau yang sangat besar, bahkan jauh lebih besar dari Langkawi.

Memandangkan lokasinya di Laut Andaman, musim hujan dan ombak bergeloranya tidak sama waktu dengan pulau-pulau yang terletak di Laut China Selatan, seperti pulau-pulau di Terengganu dan Johor.

Di Phuket, bulan Jun sehingga Oktober merupakan musim hujan.

Jika anda nak travel jugak tu boleh, tapi risiko untuk hujan lebat tu tinggi.

Selain daripada bulan Jun sehingga Oktober, pada pandangan saya anda boleh untuk travel ke Phuket.

Menariknya saya ke Phuket pada penghujung bulan Ogos. Haha. Sebab saya susah nak cuti. Jadi walaupun saya tahu musim hujan, saya tetap pergi jugak.

Sepanjang 10 hari saya di sana, 6 hari pertama cuaca sangat baik. Kalau hujan pun renyai-renyai selama 15 minit saja dan kemudiannya berhenti. Cuaca pulak redup-redup panas. Tapi setiap 2-3 jam, akan hujan balik selama 15-20 minit.

Saya dan isteri ingat cuaca akan berterusan sebegini selama 10 hari, rupanya pada 4 hari terakhir, hujan sangat lebat. Bukan renyai-renyai tapi lebat. Hujan lebat ini berterusan sepanjang hari, hanya berhenti sekejap-sekejap saja. Berbeza dengan 6 hari pertama.

Sepanjang 4 hari terakhir tu, kami redah juga hujan berbekalkan payung yang disediakan hotel dalam setiap bilik dan baju hujan yang kami dah spare siap-siap dari Malaysia sebab rasa rugi kalau lepak di bilik saja.

Setiap kali travel, kami memang akan spare siap-siap baju hujan dari Malaysia untuk standby jika hujan. Apatah lagi jika memang dah tahu musim hujan. Baju hujan kami jenis plastik nipis ja, jadi kami memang bawak ekstra in case terkoyak.

Kalau anda nak beli baju hujan di 7-eleven atau kedai-kedai sekitar Phuket pun boleh.

2. Berapa Hari Mencukupi Untuk Bercuti di Phuket

Jumlah berapa hari mencukupi untuk anda bercuti di Phuket sebenarnya bergantung kepada cara anda hendak bercuti. Saya cadangkan untuk pergi sekurang-kurangnya 5 hari 4 malam jika anda jenis yang

  • suka santai-santai;
  • suka explore banyak pantai dan suka lepak-lepak berkhelah,
  • suka ronda-ronda di pekan tanpa hala tuju dan singgah minum-minum,

Jika anda jenis touch and go, hanya nak bergambar kenangan, minimum percutian ke Phuket adalah 4 hari 3 malam.

Saya tidak galakkan untuk anda pergi 3 hari 2 malam. Bagi saya tidak berbaloi. Sebab tiket flight sekarang dah mahal.

Tips saya adalah bila nak travel, biarlah total ground cost (eg; hotel, makan, transportation etc) tu sekurang-kurangnya sama jumlah harga dengan harga tiket flight.

3. Pengangkutan dari Airport ke Hotel

Cara pertama dan favorite saya adalah pre-book teksi melalui Klook untuk pengangkutan dari Airport Phuket ke hotel di Patong. Kalau zaman bujang dulu saya suka cari teksi di airport. Boleh tawar menawar. Tapi sekarang saya dah malas nak fikir dan tercari-cari teksi bila sampai di airport macam dulu.

Melalui Klook, saya pilih perkhidmatan teksi syarikat ini. Harga dalam lingkungan RM80-90 (~700 Baht).

Jika belum ada akaun Klook, boleh daftar dulu untuk dapatkan RM15 promo code.

Bila booking teksi siap-siap ni, senang. Selepas selesai urusan imigresen dan ambil beg, saya dan isteri terus pergi ke kawasan ketibaan. Telah ada staf syarikat travel agen atau teksi memegang kad yang tertera nama saya. Saya maklumkan nama pada staf tersebut dan selepas 10 minit terus akan ada pemandu datang kepada kita. Mudah dan cepat.

Cara ke-2 adalah dengan menggunakan teksi airport atau bas. Anggaran harga untuk teksi airport adalah sekitar 1000 baht untuk ke Patong.

Cara ke-3 adalah jika anda hendak jimat, boleh naik bas. Sekitar 200 baht ke Patong.

Cara ke-4 adalah dengan menaiki Grab. Tapi saya kurang galakkan sebab grab tidak dibenarkan masuk ke kawasan airport bahagian ketibaan. Jika hendak guna juga Grab, anda kena jalan kaki keluar dari kawasan airport. Bagi saya tak perlu lah macam tu. Leceh. Harga pun lebih kurang sama ja macam teksi airport dan Klook.

Syarikat teksi yang menunggu di ruang ketibaan Airport Phuket
Syarikat teksi akan pamerkan nama kita di ruang ketibaan Airport Phuket.

4. Lokasi Hotel di Phuket

Sepanjang di Phuket, saya dan isteri tinggal di 3 hotel iaitu:

Hanya Panwaburi Beachfront Resort yang tidak terletak di Patong, manakala 2 lagi hotel adalah di Patong.

Kami memang pilih untuk tinggal di kawasan Patong berbanding Kata dan Karon sebab kami hendakkan suasana yang meriah dan easy access kepada semua benda.

Pada pandangan saya, jika anda hendak memilih hotel di Phuket, pastikan lokasi hotel tidak terlampau jauh daripada kawasan tumpuan atau pantai utamanya.

Di Patong, kawasan tumpuannya adalah Bangla Road dan pantai utamanya adalah Pantai Patong.

Jadi jika anda hendak pilih hotel di Patong, maka lokasi terbaik hotel adalah sekitar 1-2 km dari kawasan Bangla Road atau Pantai Patong.

Jika anda hendak pilih hotel yang berhadapan dengan Pantai Patong, ini antara hotel yang berada betul-betul berhadapan dengan pantai. Harga hotel berubah-ubah ikut musim. Jadi anda boleh check-lah harga terlebih dahulu dan rancang.

i) Sea Pearl Beach Resort

ii) Homm Bliss Southbeach Patong

iii) Burasari

  • Tidak betul-betul berhadapan dengan Pantai Patong tapi sangat dekat
  • Ada bilik pool access
  • Perabot dan hiasan moden

Jika anda pilih untuk menginap di Karon, lokasi hotel terbaik adalah di sepanjang jalan raya yang berhadapan Pantai Karon. Lokasi ini akan memudah anda untuk ke pantai.

Ketika saya pergi ke Karon, antara hotel yang saya nampak strategik lokasinya, hanya perlu lintas jalan untuk ke pantai (<100 m), ada menawarkan bilik pool access dan harga sederhana di Karon adalah

Hotel The Old Phuket juga mempunyai pool access, cantik dan berharga sederhana tapi lokasinya tidak betul-betul berhadapan dengan Pantai Karon.

Ada banyak lagi hotel yang lebih mahal atau lebih murah berbanding hotel yang saya cadangkan kepada anda. Anda boleh survey dulu supaya sesuai dengan bajet anda.

Di Kata pula, boleh dikatakan tidak ada langsung hotel berharga sederhana yang terletak betul-betul berhadapan dengan pantai macam di Karon. Ini kerana tanah yang terletak berhampiran pantai dipagar dengan tembok simen dan merupakan milik sebuah hotel mewah terkenal iaitu Club Med. Bila hotel mewah, faham sajalah harganya. Beribu-ribu untuk 1 malam.

Hanya ada dua saja hotel selain daripada Club Med di Pantai Kata, itupun di hujung Pantai Kata. Hotel-hotel tersebut adalah Beyond Kata dan The Boathouse Phuket. Tapi harganya boleh tahan mahal.

Jadi jika anda hendak ambil hotel di Kata, samada anda pilih hotel mewah (Club Med), Beyond Kata, The Boathouse Phuket atau anda boleh pilih hotel di sekitar hotel Beyond Kata atau hotel di pekan Kata.

Sawaddi Patong Resort & Spa (by Tolani)

Hotel pertama kami di Phuket adalah Sawaddi Patong Resort & Spa (by Tolani). Kami menginap selama 5 malam di sini. Pada pandangan saya hotel Sawaddi Patong Resort & Spa (by Tolani) terletak di lokasi yang agak strategik. Ianya tidak terlampau jauh jika anda hendak berjalan kaki ke kawasan tumpuan, ada beberapa 7-eleven di sekitarnya dan ada kedai sewa motosikal berhadapan dengannya.

Dari segi interior design biliknya boleh dikatakan moden dan baru. Harganya juga tidak terlampau mahal, sangat berpatutan dengan kualiti dan kemudahan yang disediakan.

5 malam kami di bilik ni

Kadang-kadang ada sedikit perbezaan harga antara platform Agoda dan Booking. Biasanya saya akan guna Agoda. Tapi saya survey jugak. Kadang-kadang harga Agoda mahal sikit. Jadi saya akan gunakan Booking. Boleh check dulu harga hotel ni.
Harga Sawaddi di Agoda
Harga Sawaddi di Booking.com

Seaview Patong Hotel

Seaview Patong Hotel pula saya pilih sebab lokasinya yang betul-betul berhadapan dengan Pantai Patong. Mudah saya dan isteri nak melepak tepi pantai. Kedai 7-eleven pula hanya 500 meter. Hotel ini ada bilik yang mempunyai pool access. Harganya jugak tidak mahal. Tapi hiasan dan biliknya agak lama.

Balkoni bilik di Seaview Patong Hotel. Setiap pagi saya akan lepak sambil minum kopi sementara menunggu isteri bersiap.

Untuk hotel ni, saya tak gunakan Agoda. Sebab pada waktu tersebut, harga di Booking lebih murah. Tapi anda checklah dulu harganya. Mungkin Agoda lebih murah pada waktu anda nak pergi tu.
Harga Seaview di Booking
Harga Seaview di Agoda

Panwaburi Beachfront Resort

Panwaburi Beachfront Resort tidak terletak di Patong. Ianya terletak lebih kurang 1 jam perjalanan dari Patong. Kami beralih dari Patong ke Panwaburi Beachfront Resort sebab kami nak sambut anniversary perkahwinan kami yang ke-5. Lagipun isteri saya memang teringin sangat nak pergi selepas tengok video-video viral di instagram tentang hotel ni.

Salah satu keunikan hotel ini adalah kita boleh berkayak dalam swimming poolnya. Kayak tak perlu sewa. Siapa cepat dia dapat. Ada 2 saja kayaknya.

Dari segi interior design bilik agak moden. Kami ambil bilik pool access.

Di sini, kami jumpa sangat ramai orang Malaysia. Maklumlah, orang Malaysia kan suka viral-viral ni. Haha.

Kekurangan utama hotel ini adalah ianya jauh dari segala-galanya, even 7-eleven atau apa-apa kedai.

Ini bilik pool access. Jadi sambil anda berus gigi tu boleh la tengok kolam renang yang bersambung dengan bilik anda. Haha.

Hotel Terbaik Yang Saya Stay?

Antara ketiga-tiga hotel yang saya stay di Phuket, bagi saya dan isteri Sawaddi Patong Resort & Spa (by Tolani) menawarkan harga berpatutan, staf pun sangat friendly, kemudahan di hotel juga baik dan lokasi hotel strategik.

5. Makanan Halal

Tips paling mudah untuk cari makanan halal di mana-mana pun anda pergi adalah dengan cara cari masjid. Biasanya di sekitar masjid akan ada banyak kedai makanan halal.

Masjid yang terdekat dengan hotel saya Sawaddi Patong Resort & Spa (by Tolani) adalah Masjid Nurul Huda.

Tapi di Phuket tak susah cari makanan halal sebab Phuket ada banyak orang Islam. Merata-rata anda boleh nampak peniaga makanan halal.

Ada peniaga yang memang berasal Phuket. Ada juga peniaga yang berasal dari Yala, Narathiwat dan Pattani.

Macam mana nak tahu mereka bukan orang Phuket?

Mereka yang berasal dari Yala, Narathiwat dan Pattani boleh berbahasa Melayu, dialek Kelantan.

Mulanya saya hairan juga macam mana mereka boleh fasih berbahasa Melayu. Bila ditanya, rupanya mereka memang berbahasa Melayu sesama mereka. Mereka hanya belajar Bahasa Thailand di sekolah sebab bahasa Thai adalah bahasa kebangsaan mereka.

Jadi bila ke kedai makan mereka, mudah sangatlah kita nak order makanan.

Makanan favorite saya sepanjang di sana adalah Pad Thai dan Nasi Pakapao.

Untuk Pad Thai paling sedap, saya recommend kedai makan Alading. Kedai dia kecik ja, macam kedai kampung ja. Bukanlah bertaraf restoran. Meja pun sikit ja. Tapi dalam banyak-banyak kedai yang saya cuba Pad Thai, kedai Alading ni lah paling sedap.

Untuk yang belum pernah cuba, pad Thai ni rupanya macam kuew tiaow. Sebenarnya, saya pun tak berapa pasti apa beza pad thai dan kuew tiaow. Yang penting sedap. Haha.

Alading ini nama abang pemilik kedai. Muda lagi dalam 40-an. Peramah dan baik. Seronok sembang sebab dia pernah duduk di Malaysia (Langkawi dan Perak). Tak silap saya dia berasal dari Yala. Fasih berbahasa Melayu. Kalau anda hendak ke sana, ini lokasi kedai beliau: Alading Thai Restaurant

Harga nasi goreng dan pad thai di kedai Alading ni berpatutan dan sedap.

Kalau nasi pakapao, paling sedap adalah di satu kedai berhampiran masjid.

Nama kedai tersebut adalah Fauzee. Link Google Maps: Fauzee halal food.

Walaupun lama di Patong, tapi saya tak sempat cuba semua kedai di sekitar masjid. Sebab bila dah jumpa kedai sedap, kami repeat ke kedai yang sama banyak kali setiap kali nak beli makanan.

Salah satu tips untuk cari kedai makan di Phuket dan nak tau kedai tu sedap atau tidak, adalah dengan cara saya akan tengok kedai mana yang orang tempatan Phuket pergi. Pilihlah kedai tersebut. Kebiasaannya mesti kedai tu sedap dan harga berpatutan.

Jika anda tidak ada transport dan kedai makan halal pun jauh dari hotel anda, cari saja 7-eleven. Banyak makanan halal. Paling sedap adalah burger. Tapi berhati-hati, ada juga burger yang tak halal. Pastikan tengok betul-betul yang ada label halal. Bila dah beli tu, minta pekerja panaskan guna microwave. Nak beli roti pun sama. Walaupun roti ban inti kacang, sebaiknya jika tiada tanda halal, jangan beli.

Burger, coffee dan susu coklat di 7-eleven berdekatan Pantai Patong
Hari ke-7, memandangkan hujan lebat, so kami pun malas pergi kedai jauh. Beli dan makan burger saja di 7-eleven berdekatan Pantai Patong.

6. Pantai-pantai Menarik

Di Phuket, antara pantai utama yang menarik, pantainya panjang dan ramai pengunjung adalah Pantai Patong, Pantai Kata dan Pantai Karon.

Pantai Patong walaupun tidaklah jernih sangat airnya, tapi tetap menjadi tumpuan orang ramai disebabkan lokasi yang betul-betul di tengah pekan Patong.

Pantai Karon dan Pantai Kata pun lebih kurang macam Pantai Patong.

Di pantai-pantai ini anda boleh sewa jet ski, atau parasailing.

Kalau anda sekadar nak berehat, boleh beli air kelapa dan lepak santai di pantai.

Jika anda sewa kenderaan sendiri, anda boleh explore beberapa pantai lain di Phuket. Pantai dan jaraknya dari pekan Patong adalah seperti berikut:

  • Banana Beach (~27 km)
  • Nai Thon Beach ( ~29 km)
  • Freedom Beach (~ 5.5 km)
  • Kamala Beach (~11 km)

Pantai-pantai ini lebih cantik dan jernih airnya. Suasananya juga lebih privasi sebab tak ramai orang yang datang.

Kami mandi tengah-tengah panas di Pantai Nai Thon. Pantai ni luas dan landai. Anda boleh jalan kaki sampai ke tengah dan masih lagi cetek dan tak dalam. Kami sampai di pantai ni waktu tengah hari, jadi tak ramai orang sangat. Petang mungkin ramai sebab ada beberapa buah hotel di sekitar pantai.

Bila travel, saya dan isteri suka naik moto atau scooter. Bagi kami perjalanan naik moto untuk sampai ke satu destinasi tu satu experience yang best. Sebab tu lah kami tak kisah kalau pantai tu jauh.

Tapi tak dinafikan juga ada sesetengah pantai yang kami pergi tu suasananya tak best pun seperti kami harapkan. Bukan tak best sebab tak cantik tapi disebabkan cuaca. Inilah yang berlaku bila kami ke Banana Beach.

Lebih kurang 20 minit selepas kami sampai ja, tiba-tiba angin kuat, air laut bergelora dan ujan rintik-rintik. Padahal peniaga di situ maklumkan sehari sebelumnya cuaca elok ja.

Takpalah.

Bagi kami, yang penting adalah kami suami isteri dapat spend masa sama-sama sepanjang perjalanan. Boleh borak-borak dan singgah makan merata tempat.

Cuaca ketika baru sampai Banana Beach masih elok lagi. Tapi sebenarnya ombak sudah agak kuat dan bergelora. Nampak saja macam ombak kecil.

Jika anda buat keputusan untuk pergi ke pantai-pantai yang jauh dari Patong, tips saya adalah supaya anda tapau makanan siap-siap dari Patong. Sebab di Banana Beach dan Nai Thon Beach, saya tak jumpa 7-eleven atau kedai makanan halal.

Kami beli dan tapau pulut ayam siap-siap sewaktu dalam perjalanan ke pantai-pantai tersebut.

Kami singgah untuk tapau pulut ayam sebagai bekalan nak berkelah makan di pantai. Cuba tengok nama kedai ni. Bila dah balik baru perasaan dia tulis Hatyai. Haha. Kedai ni terletak di jalan sekitar Masjid Nurul Huda.

7. Aktiviti dan Tempat-tempat Menarik di Phuket

Snorkelling

Salah satu aktiviti yang paling best bila ke Phuket adalah snorkelling. Biasanya aktiviti ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya separuh hari anda (half-day) atau full-day. Anda boleh pilih.

Kebiasaannya, trip snorkelling akan bawa anda ke 3-4 buah pulau kecil di sekitar Phuket.

Jika hendak tempah online, boleh lihat pakej yang disedikan oleh Klook. Harga sekitar RM110-200.

Jika anda tak pasti lagi samada untuk pergi snorkelling atau tidak, jangan bimbang. Di sekitar pekan Phuket ada banyak booth travel agent yang menawarkan pakej snorkelling. Anda boleh beli pakej daripada mereka bila dah sampai di sana nanti.

Pada hari trip untuk snorkelling, kebiaasaannya travel agent akan pick-up anda di hotel.

Air mineral, snacks, breakfast dan lunch biasanya disediakan. Tapi spare juga duit sebab biasanya untuk lunch, bot akan berhenti di pulau. Mungkin anda ingin beli air kelapa atau apa-apa makanan tambahan di pulau.

Selepas habis trip tersebut, mereka akan drop semula anda di hotel.

Beli Makanan di Pasar Malam Kalim

Pasar Malam Kalim ni menarik sebab lokasinya yang terletak di tepi jalan bersebelahan Pantai Kalim. Peniaga akan buka stall di tepi jalan yang terletak di tepi laut. Pasar malam Kalim dibuka dari jam 5 petang sehingga jam 10 malam.

Pasar malam ini dikhaskan kepada peniaga Islam saja. Semua peniaga di sini adalah orang Islam. Jadi tak perlu bimbang berkenaan halal. Boleh dikatakan semua jenis makanan Thai ada dijual, contohnya pad thai, pancake, roti, bihun sup daging thai, pulut mangga dan pelbagai lagi jenis makanan.

Ramai jugak yang beli makanan dan kemudiannya makan di tepi pantai. Boleh duduk di meja yang peniaga sediakan, tembok atau batu pantai. Jika nak lebih best, pergilah ketika matahari nak terbenam. Layan sunset. Memang cantik.

Ada 1 gerai yang menjadi tumpuan orang ramai iaitu gerai jual pad thai. Anda boleh juga makan di meja yang disediakan di belakang gerai. Makan sambil layan angin dan pemandangan laut.

Big Buddha

Dengan menaiki motosikal atau skuter, perjalanan dari pekan Patong ke Big Budhha mengambil masa hampir 45 minit. Jika menaiki kereta, mungkin hanya ambil masa 20 minit. Walaupun lokasi Big Buddha ini adalah di atas bukit tapi jalan menaiki bukit adalah bertar dan elok. Tiada masalah walaupun menaiki motosikal. Tempat parking kereta atau motosikal pun banyak.

Kompleks Big Buddha dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi sehingga 6.30 petang. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke kompleks Big Buddha.

Pemandangan dari atas Big Buddha pada waktu lewat petang.

Jalan-jalan di cari makan

Thailand memang sinonim dengan pancake. Memandangkan kami sewa scooter dan kerap meronda-ronda. Ke mana saja kami pergi, kami mesti singgah beli pancake. Buat lapik perut.

Sudah tentulah lain tempat lain lah sikit rasanya. Ada yang goreng roti bagi rapuh sikit, ada yang tidak. Ada yang manis, ada yang kurang manis. Harga sekitar 50 Baht. Sebenarnya harga berbeza bergantung kepada lokasi. Tapi tidaklah beza banyak, biasanya perbezaan dalam lingkungan 10-20 Baht (RM1.30 – 2.60) saja.

Pancake di Pekan Karon
Beli pancake ketika saya dan isteri meronda-ronda di Pekan Karon pada malam pertama kami sampai di Phuket.

ii. Pulut ayam

Pulut ayam merupakan makanan Thailand yang patut anda cuba jika ke sini. Jika anda belum pernah cuba, ianya macam nasik ayam, tapi nasi digantikan dengan pulut. Tiada kicap tapi hanya sos thai dan akan diberikan bawang goreng.

Di Malaysia, pulut ayam dijual satu set. Di Phuket, saya dapati mereka jual pulut dan ayam secara berasingan. Harga pulut 5-10 baht dan ayam pulak sekitar 20-40 baht bergantung kepada saiz.

iii. Food market

Kami juga singgah ke food market ketika di Karon. Selain pancake, makanan Thai dan makanan Arab pun ada dijual di food market. Ada yang tertulis halal ada yang tidak. Kedai yang menjual makanan laut macam ikan bakar pun ada.

Nampak sedap tapi tidak ada tanda halal. Jadi saya tak berani beli sebab saya tak pasti adakah penyediaan rempah, sos dan kicap yang digunakan untuk ikan bakar tu halal atau tidak.

Food market di sini ada banyak makanan halal dijual

8. Sewa Motosikal (Skuter)

Ada yang tertanya-tanya, perlu lesen antarabangsa (IDL) tak untuk sewa motosikal di sini?

Tak perlu. Bahkan kedai sewa motosikal tak mintak untuk tengok lesen pun.

Kadar sewa skuter atau motosikal mahal atau murah?

Sangat murah.

Skuter 125 cc hanya 250 baht untuk 24 jam.

Skuter 160 cc (Honda Click) pula sekitar 350-400 baht.

Cuma kebanyakan kedai sewa motosikal akan minta passport sebagai deposit. Saya dah survey hampir 10-15 kedai, semuanya hendak simpan passport.

Cuma ada 1 travel agensi saja yang berikan pilihan; samada hendak beri passport atau beri 4000 baht (RM540) sebagai deposit. Booth travel agensi ni terletak di hadapan deretan rumah kedai berhadapan hotel Best Western.

Walaupun mahal, tapi saya tetap pilih untuk beri deposit dalam bentuk duit. Bukan apa, risau pula nak serah passport kepada kedai. Sebab passport ni dokumen identiti rasmi yang sulit.

Penutup

Terima kasih kerana sudi membaca perkongsian saya. Saya berharap anda beroleh manfaat dari penulisan ini dan sedikit sebanyak dapat bantu anda merancang percutian terbaik di Phuket nanti.

Related Post

2 thoughts on “8 Tips dan Perkongsian Pengalaman Percutian ke Phuket
  1. Rozzy

    boleh kongsi travel agensi yang mana?

    • Passport18

      Utk the whole trip tu, saya tak pakai travel agent. Sy arrange sendiri semua. Tapi kalau nak pergi snorkelling, boleh walk-in ke mana2 travel agent di sekitar Phuket. Ada banyak.

Leave a Reply